11 rakyat Malaysia mangsa penipuan pekerjaan di Kemboja, diselamatkan dan dibawa pulang
Bernama
November 1, 2024 22:31 MYT
November 1, 2024 22:31 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Luar, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh, berjaya memudah cara kepulangan 11 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Sihanoukville, Kemboja.
Kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa seorang daripada mereka telah pulang ke Malaysia pada 25 Okt, manakala 10 lagi dijadualkan tiba di Malaysia pada Jumaat, 1 Nov.
Kementerian itu menyatakan penghargaan kepada pihak berkuasa Kemboja yang berkaitan atas kerjasama dan bantuan mereka dalam menyelamatkan serta memudahkan kepulangan mangsa ke Malaysia.
"Kementerian terus meningkatkan usaha untuk menangani isu rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan," menurut kenyataan itu.
Kementerian turut mengingatkan rakyat Malaysia yang berhasrat mencari pekerjaan di luar negara agar berwaspada dan menyemak terlebih dahulu kesahihan pekerjaan yang ditawarkan.
Rakyat Malaysia juga dinasihatkan mematuhi undang-undang dan peraturan imigresen semasa melakukan perjalanan ke luar negara, katanya lagi.
-- BERNAMA