11 projek dan inisiatif jadikan Cyberjaya model bandar pintar
Hilal Azmi
Mei 31, 2017 22:10 MYT
Mei 31, 2017 22:10 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan 11 projek dan inisiatif utama dalam usaha menjadikan Cyberjaya model Bandar Pintar.
Projek dan inisiatif itu merangkumi pembangunan Cyberjaya City Centre, Cyberjaya Innovation Fund for the Future (CIFF), penubuhan Hab Serantau Teknologi Kewangan (fintech), Cyberjaya Futurise Centre, dan pembangunan Bandar Keusahawanan Lautan Biru (BOET).
Inisiatif lain termasuk pelancaran Pusat Big Data Asia, pelaburan Pusat Data Lembah Klang (KVDC), kemudahan internet berkelajuan tinggi, Hospital Cyberjaya, Sensor Applications Innovation Centre (SONIC) serta pengembangan pusat data CBJ4Annex, katanya.
"Tiada jalan pintas untuk menjadi sebuah negara maju melainkan setiap daripada kita mengambil peluang yang ada untuk menyumbang ke arah matlamat besar ini.
"Ingin saya peringatkan, salah satu fokus utama kita pada ketika ini adalah mendepani cabaran dan mengambil kesempatan terhadap pertumbuhan ekonomi digital yang semakin pesat," kata Najib ketika berucap melancarkan Bandar Pintar Cyberjaya "Innovation Drives The Smart City Transformation" di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar dan Wilayah, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh. Omar, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan juga Pengerusi Cyberview Sdn Bhd Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd Datuk Faris Yahaya.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata penyediaan ekosistem digital yang kondusif menerusi bandar pintar di Cyberjaya mampu menghubungkan masyarakat dengan segenap infrastruktur yang ada dengan teknologi yang mampu meningkatkan kualiti hidup, pengurusan bandar lebih cekap, meningkatkan kelestarian serta merangsang perkembangan inovasi secara berterusan.
Menurutnya, projek pembangunan Cyberjaya City Centre merupakan pembawa perubahan yang akan melengkapkan lagi transformasi Cyberjaya sebagai Hab Teknologi Global dan bandar pintar.
Sementara itu, Mohd Irwan berkata, Cyberjaya bakal menjadi tumpuan bagi percubaan inovasi baru yang dibangunkan rakyat Malaysia.
Katanya, ia penting sejajar dengan populasi penduduk di Cyberjaya yang pada ketika ini mempunyai lebih 20% penerima teknologi awal.
"Cyberjaya akan menjadi lokasi perlaksanaan 'versi beta' bagi setiap inovasi baru yang bakal dilaksanakan di seluruh negara," katanya.
Selain itu, Najib turut mengumumkan Telekom Malaysia (TM) melalui syarikat miliknya VADS Bhd akan melabur bagi Pusat Data Lembah Klang (KVDC) dengan jumlah keluasan (GFA) sebanyak 400,000 kaki persegi, berkuasa elektrik 20MW (Megawatt) dan berciri hijau.
Pusat itu dijangka dibuka tahun depan.
"Pusat data ini akan dihubungkan dengan Pusat Data Iskandar Puteri di mana kedua-duanya akan membentuk infrastruktur pusat data terbesar yang seumpamanya di rantau Asia Tenggara," katanya.
Najib berkata semua kediaman di Cyberjaya bakal menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi mencecah 1 gigabait sesaat (1Gbps) dengan harga berpatutan yang sebelum ini hanya diguna pakai syarikat perniagaan sahaja.
Pada masa sama, katanya, kerajaan juga akan membina sebuah hospital di Persiaran Multimedia di sini yang dijangka siap menjelang 2020 dan bakal melengkapkan perkhidmatan yang disediakan di Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang.