11 pesakit COVID-19 terperangkap banjir dipindahkan - Bomba Kelantan
Bernama
Disember 21, 2021 07:36 MYT
Disember 21, 2021 07:36 MYT
PASIR MAS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menyelamatkan 11 mangsa banjir yang disahkan positif COVID-19, kerana terperangkap akibat bencana itu melibatkan enam pesakit di Gua Musang dan lima di Rantau Panjang.
Pengarah JBPM Kelantan Zainal Madasin berkata kesemua pesakit di dua jajahan itu dibawa keluar dari kediaman masing-masing menggunakan lori milik jabatan berkenaan sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata kesemua pesakit tersebut sebelum ini menjalani kuarantin di rumah.
"Kesemua mangsa yang positif itu akan memberitahu status mereka terlebih dahulu, sebelum anggota kami meneruskan operasi menyelamat.
"Malah, anggota bomba yang terlibat dalam operasi menyelamat dan memindahkan pesakit ini telah mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan banjir di Kampung Tersang dekat Rantau Panjang, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Zainal berkata sejak 17 Dis lepas hingga kini, pihaknya melaksanakan 14 operasi menyelamat mangsa banjir di Kelantan dengan melibatkan 62 individu termasuk pesakit COVID-19.
-- BERNAMA