11 pekerja asing ditahan dalam Ops Selera

Bernama
Ogos 21, 2024 11:15 MYT
Imigresen Pulau Pinang menjalankan operasi di medan selera sebuah pusat beli-belah di Seberang Jaya, di Bukit Mertajam semalam, menahan 11 pekerja asing. - Foto Imigresen Pulau Pinang
BUKIT MERTAJAM: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang menahan 11 pekerja asing dalam Ops Selera di medan selera di sebuah pusat beli-belah di Seberang Jaya, di sini, semalam.
Jabatan itu memaklumkan, 27 pengendali makanan diperiksa sebelum 11 pekerja berusia 25 hingga 40 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk melanggar syarat pas dengan bekerja di sektor berlainan daripada kelulusan yang diberikan.
Mereka terdiri daripada enam lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki Nepal serta seorang lelaki dan seorang wanita Indonesia.
"Kesemua mereka ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 untuk siasatan lanjut dan tindakan jabatan," menurut JIM menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
JIM Pulau Pinang menyebut siasatan akan turut dijalankan ke atas pemilik perniagaan.
-- BERNAMA
#pekerja asing #Imigresen Pulau Pinang #Ops Selera #pengendali makanan
;