11 maut bas pekerja terbabas di Sepang
Astro Awani
April 7, 2019 04:25 MYT
April 7, 2019 04:25 MYT
Angka korban nahas bas pekerja yang menjunam ke dalam longkang di Jalan S8 Pekeliling berhampiran MASkargo, di sini malam tadi meningkat kepada 11 orang.
Sembilan daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian dan dua lagi mangsa meninggal dunia di hospital, masing-masing satu di Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata dalam kejadian jam 11.10 malam itu, siasatan awal mendapati bas terbabit yang membawa 43 penumpang warga asing yang juga pekerja kontrak MASkargo dalam perjalanan ke tempat kerja dari asrama mereka di Nilai, Negeri Sembilan.
Difahamkan kesemua pekerja terbabit sepatutnya masuk bekerja pada syif 12 tengah malam.
Siasatan awal mendapati bas terbabit hilang kawalan sebelum menjunam ke dalam longkang sedalam 10 meter.
Kemalangan itu menyebabkan sembilan mangsa termasuk pemandu bas itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang penumpang wanita disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Serdang.
“Lebih kurang jam 11.10 malam satu kemalangan berlaku di Jalan S8 KLIA di mana sebuah bas membawa pekerja telah terbabas dan masuk ke dalam sebuah longkang besar. Dalam bas itu terdapat 44 orang termasuk pemandu iaitu pekerja MASkargo dimana semua pekerja tersebut di bawah syarikat Kaya Mas.
"Mereka ini dibawa dengan bas daripada hostel mereka di Nilai untuk bertugas shift pada 12 tengah malam tadi. Dalam perjalanan itu bas ini terbabas. Setakat ini sembilan orang meninggal dalam kejadian di sini iaitu termasuk seorang pemandu manakala selebihnya dibawa ke hospital,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Zulkifli berkata, 34 penumpang bas terbabit yang cedera dikejarkan ke Hospital Serdang, Hospital Putrajaya, Hospital Banting dan Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.
Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Operasi menyelamat mangsa turut dibantu pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kesihatan Malaysia dan polis bantuan MASkargo.
Sementara itu, Ketua Zon Lima (Selangor Selatan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Nik Mohd Fadhil Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 11.16 malam tadi.
Seramai 38 pegawai dan anggota bersama tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA, BBP Cyberjaya dan BBP Sepang dikejarkan ke lokasi kejadian.
Pihak bomba juga terpaksa memotong beberapa bahagian bas terbabit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Bomba mengambil masa kira-kira satu jam bagi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan kaedah ‘hauling’ iaitu menggunakan tali penyelamat, tangga serta pengusung bagi membawa keluar mangsa.
#bas
#bas terbabas
#Hospital
#Kajang
#kemalangan
#maut
#meninggal dunia
#Negeri Sembilan
#nilai
#polis
#Putrajaya
#Sepang
#siasatan