11 kes terbaharu COVID-19 direkodkan di Sarawak

Nickyson Nyambar
Mac 15, 2020 04:01 MYT
Menurut Amar Douglas Uggah Embas, 11 kes terbaharu yang dicatatkan di Sarawak menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu 20 kes setakat ini. - Gambar BERNAMA
Sarawak hari ini merekod 11 kes baharu positif COVID-19.
Sehingga kini, negeri itu mencatatkan 20 kes keseluruhan sejak kes pertama pada Jumaat lalu.
BACA: Sarawak catat tiga kes pertama COVID-19
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, daripada 11 kes yang direkodkan itu, lapan dari Miri, manakala selebihnya satu di Kuching, Bintulu dan Sarikei.
“Kesemua lapan kes di Miri itu berkait dengan majlis keagamaan di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur. Kami masih cuba mengenal pasti punca kes mangsa di Kuching, Sarikei dan Bintulu,” katanya.
Seperti yang dimaklumkan pada Sabtu, pihaknya telah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk mengesan 400 penumpang pesawat yang terbang ke negeri itu melalui empat lapangan terbang utama dari 2 hingga 5 Mac lalu dari Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai agar sentiasa menitikberatkan tahap kebersihan diri dan tidak mengikuti perhimpunan besar buat masa ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Dagang turut menyarankan agar perhimpunan melebihi 50 orang ditunda buat sementara waktu.
BACA: Sarawak catat enam kes baharu positif COVID-19
#Astro Awani #AWANI Sarawak #COVID-19 #Datuk Aaron Dagang #Douglas Uggah Embas #JPBN