11 kes COVID-19 di Semenanjung berpunca daripada individu pulang dari Sabah - Dr Noor Hisham
Ridauddin Daud
September 26, 2020 18:41 MYT
September 26, 2020 18:41 MYT
Terdapat 11 kes positif COVID-19 dikesan di Semenanjung Malaysia sepanjang 24 jam yang lalu berpunca daripada individu yang baru kembali dari negeri Sabah.
Jumlah itu lebih tinggi daripada 10 kes yang dikesan positif setelah kembali dari Sabah dari tempoh 20 hingga 25 September 2020 lepas.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan kes dan kluster COVID-19 di Sabah masih berterusan dan empat daerah telah dikenal pasti sebagai zon merah.
Menerusi kenyataan beliau hari ini, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan tiga kes positif pada Sabtu dengan ketiga-tiganya melibatkan warganegara Malaysia yang baru pulang dari Sabah.
Negeri Sembilan dan Terengganu pula merekodkan dua kes manakala Selangor, Pahang, Melaka dan Johor masing-masing merekodkan satu kes berkaitan individu yang baharu pulang dari Sabah.
Astro AWANI pada Sabtu melaporkan bermula 27 September hingga 10 Oktober 2020, individu yang pulang dari Sabah diwajibkan menjalani saringan COVID-19 dan diarahkan untuk menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).
Dr Noor Hisham berkata, semuanya akan diberi surat HSO, dipakaikan gelang kuarantin dan tarikh pengawasan pula bermula dari tarikh ketibaan sehingga keputusan makmal diperolehi.
Menurutnya, aktiviti saringan akan dijalankan apabila mereka baru tiba dari Sabah di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).
“Pelepasan HSO akan diberikan sekiranya keputusan ujian makmal menunjukkan negatif COVID-19. Sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pulang, individu tersebut perlu menjalani saringan ulangan bagi COVID-19.
“Sekiranya terdapat individu yang perlu meneruskan perjalanan ke rumah masing-masing dengan menaiki kenderaan awam seperti teksi dan kereta Grab, surat kebenaran untuk ke alamat yang ditetapkan akan diberikan pada hari tersebut,” katanya.
Tambah beliau, saringan ke atas individu baik warganegara atau bukan warganegara yang pulang dari Sabah itu dikecualikan daripada caj ujian COVID-19.
#Astro
#Astro Awani
#Dr Noor Hisham Abdullah
#kereta
#kes positif
#kesihatan
#koronavirus
#Kuala Lumpur
#Malaysia
#Negeri Sembilan
#Noor Hisham Abdullah
#Pahang
#rumah
#teksi