11 kes baru disyaki jangkitan Rotavirus di Kedah

Astro Awani
Februari 6, 2017 08:12 MYT
Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong menjadi tumpuan ramai, khususnya pada malam hari hingga selepas tengah malam. - Foto Wikimedia
Sebelas lagi kes cirit-birit disyaki jangkitan Rotavirus dikenalpasti selepas kes pertama dilaporkan tiga hari lepas, menurut Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail.
Katanya, jumlah kes baru yang dilaporkan itu menjadikan keseluruhannya 18 kes sehingga lewat petang Ahad, melibatkan pengunjung Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong, di Baling.
"Sebelas kes baru itu membabitkan empat orang yang dimasukkan ke wad Hospital Kulim, dua orang di Hospital Sik dan masing-masing seorang di Hospital Yan dan Hospital Pakar Aman Jaya.
"Manakala tiga kes lagi membabitkan tiga orang hanya mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Jitra," katanya.
Dr Norhizan berkata, mangsa enam lelaki dan lima perempuan kes baru itu berusia antara 1 dan 19 tahun dan kesemuanya mengunjungi pusat rekreasi berkenaan daripada 28 hingga 30 Januari yang lepas.
Pada Sabtu, pusat rekreasi berkenaan ditutup sementara susulan enam kes kanak-kanak dimasukkan ke Hospital Kulim kerana disyaki dijangkiti Rotavirus selepas mandi di sana.
BACA: Enam kanak-kanak disyaki dijangkiti Rotavirus selepas kunjungi kolam air panas Ulu Legong
Seorang lagi menerima rawatan pesakit luar.
Menurut Dr Norhizan, tiga kanak-kanak yang menerima rawatan di wad Hospital Kulim sebelum ini telah pun dibenarkan pulang sementara semua 12 kes yang masih dirawat di wad berada dalam keadaan stabil.
Pusat rekreasi tersebut masih ditutup untuk siasatan lanjut oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Pejabat Kesihatan Daerah Baling dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh.
Beliau terus meminta orang ramai yang mempunyai sejarah melawat pusat rekreasi itu dari tempoh 25 Januari hingga 3 Februari agar mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan jika mempunyai simptom seperti demam berterusan, muntah dan cirit-birit.
#Dr Norhizan Ismail #Jabatan Kesihatan Kedah #pusat rekreasi #Rotavirus #Ulu Legong
;