11 kawasan rekod bacaan kualiti udara tidak sihat
Faida Rahim
Oktober 2, 2023 21:18 MYT
Oktober 2, 2023 21:18 MYT
KUALA LUMPUR: Indeks pencemaran udara (IPU) kategori tidak sihat melebihi 101 di Semenanjung direkodkan kepada 11 kawasan sehingga jam 6 petang hari ini.
Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar dalam satu kenyataan memaklumkan Nilai, Negeri Sembilan mencatatkan bacaan IPU paling tinggi setakat 6 petang iaitu 161.
Turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat adalah Batu Muda (116), Cheras (160), Putrajaya (153), Petaling Jaya (154), Shah Alam (154), Klang (IPU 107), Banting (IPU 155), Seremban (156), Port Dickson (152) dan Johan Setia (144).
Dalam pada itu, Kementerian dan setiap agensi terlibat dalam pengurusan bencana jerebu sedang mempertingkatkan usaha pencegahan ke atas aktiviti pembakaran terbuka yang berpotensi menyebabkan jerebu di peringkat tempatan.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam dan menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah apabila bacaan IPU melebihi 100.
Sebagai rekod, bacaan IPU sehingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas adalah berbahaya.