11 Julai diisytihar hari memperingati MH17 - Liow
Wan Syamsul Amly
Jun 27, 2015 14:56 MYT
Jun 27, 2015 14:56 MYT
Kerajaan hari ini mengumumkan 11 Julai depan sebagai hari ulang tahun pertama memperingati tragedi pesawat penerbangan MH17 ditembak jatuh dari ruang udara di timur Ukraine tahun lalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, walaupun penyiasatan MH17 sedang berlangsung, ulang tahun itu dibuat sebagai tanda simpati kerajaan kepada keluarga mangsa yang terlibat.
"Kerajaan sudah bersetuju untuk menetapkan majlis ulang tahun MH17 ditembak jatuh. Majlis akan diadakan di Bangunan Bunga Raya.
"Kita sentiasa komited untuk mengetahui siapa dalang di sebalik insiden ini. Saya ingin nyatakan kita mengambil berat isu ini dan akan mencari siapa di sebalik kejadian ini," katanya semasa sidang media selepas merasmikan bangunan baru untuk pelajar instimewa di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sam Yoke di sini hari ini.
Pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lalu, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.
Dalam pada itu kata Liow, kerajaan akan menggesa Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyiasat apa yang sebenarnya berlaku kepada MH17.
"Siasatan belum selesai namun kita berharap mendapat laporan terakhir secepat mungkin.
"Kita sentiasa menanti laporan akhir dan wakil kita juga ada di sana (Belanda)," ujarnya.
Selain Malaysia, Belanda dan Australia turut mengadakan ulang tahun itu di negara masing-masing.
Sebelum ini, Malaysia Airlines (MAS) juga dilaporkan sedia menanggung perbelanjaan keluarga mangsa tragedi yang ingin menghadiri sambutan ulang tahun di Belanda.
Selain Malaysia, Belanda dan tiga negara lain mahu tribunal Pertubuhan Bangsa Bersatu, PBB ditubuhkan untuk membicarakan mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh MH17.
Malaysia akan mengetuai negara terlibat mengemukakan draf resolusi ke Majlis Keselamatan berhubung penubuhan tribunal berkenaan.