11 individu termasuk lima wanita berpesta dadah ditahan

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 25, 2021 10:51 MYT
Semasa serbuan anggota polis mendapati kesemua suspek berada di ruang tamu dalam rumah tersebut sedang berkumpul leka menghisap dadah. - Gambar hiasan
BUKIT MERTAJAM: Polis menahan 11 individu termasuk lima wanita kerana terbabit dalam pesta dadah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh di sebuah kondominium yang dijadikan inap desa di Kompleks BM City, di sini.
Kesemua mereka yang berusia antara 18 hingga 25 tahun ditahan sepasukan polis pada jam 12.01 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata semasa serbuan anggota polis mendapati kesemua suspek berada di ruang tamu dalam rumah tersebut sedang berkumpul leka menghisap dadah.
"Pemeriksaan di ruang tamu menemui dadah 14 biji pil ecstasy, 4.7 gram dadah Methamphetamine, 4.7 gram ketamin diatas meja"
"Kesemua dadah itu kemudian dirampas dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk siasatan lanjut, katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Shafee berkata, ujian saringan air kencing mendapati semua suspek lelaki positif dadah manakala suspek wanita negatif.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Peraturan 17, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
"Kompaun turut dikeluarkan ke atas semua suspek yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.
#Dadah #pesta #Tahan #polis #PKP
;