11 guru hasilkan video muzik Air Mata Syawal versi retro

Farhana Joni
Mei 12, 2021 23:42 MYT
Guru-guru di utara tanah air hasilkan video muzik Air Mata Syawal versi retro secara maya. - Gambar FB Putra Iqmal Hashim
KUALA LUMPUR: Di sebalik beberapa kekangan, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menggunakan teknologi dalam talian telah memberi banyak kelebihan kepada guru-guru dan murid.
Secara dasarnya kaedah tersebut diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan bagi mengawal penularan jangkitan #COVID19 di kalangan pelajar, namun ia turut digunakan untuk pelbagai tujuan lain yang bermanfaat dan menghiburkan.
Terbaharu, antara yang menarik perhatian adalah usaha 11 guru dari dua negeri bergabung tenaga dan kreativiti secara maya bagi mendendangkan lagu Aidilfitri dalam sebuah video muzik.
Sumber Facebook putra.fender
Kesemua tenaga pengajar itu dari Langkawi, Baling, Kubang Pasu di Kedah dan Ayer Itam, Pulau Pinang.
Menurut wakil mereka, Putra Iqmal Hashim, 26, lagu Air Mata Syawal dendangan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah digubah semula kepada muzik retro dan jazz.
"Kami semua rakam di rumah masing-masing video ini bagi mengubat rindu kepada keluarga di kampung.
"Macam orang lain, kami pun tak dapat beraya kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, jadi inilah cara kami meluahkan rasa rindu kepada kampung halaman," kata guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Melaka, Langkawi.
Menariknya, kesemua guru terbabit bukan hanya menyanyi bahkan turut memainkan alat muzik seperti violin, gitar, seruling buluh, marakas, percussion dan keyboard.
Video yang berdurasi empat minit itu telah ditonton sebanyak 596 kali sehingga malam Rabu dan kini semakin tular di media sosial.
#Air Mata Syawal #Aidilfitri #guru #PdPR #Kementerian Pendidikan #COVID-19 #Putra Iqmal Hashim #Datuk Seri Siti Nurhaliza
;