11 anggota PDPA bantu SAR kanak-kanak dipercayai lemas

Abd Razak Mohd Ali
Jun 4, 2023 11:20 MYT
Operasi diteruskan pagi ini dengan teknik pencarian di permukaan sejauh dua kilometer. - Foto JBPM
TANJUNG MALIM: Seramai 11 anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) menyertasi operasi mencari dan menyelamat seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dikhuatiri lemas, ketika mandi di sungai berdekatan Teratak River View Lubuk Hantu, Simpang Empat, Tanjung Malim, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata masing-masing tiga anggota PDPA itu dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dan Kuala Kangsar, manakala lima lagi dari BBP Teluk Intan.
Di samping itu, katanya, operasi turut dibantu tiga anggota dengan dua ekor anjing dari Unit K9, selain 25 anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam, Rela dan Pasukan Bomba Sukarela Slim Village.
“Operasi diteruskan pagi ini dengan teknik pencarian di permukaan sejauh dua kilometer kerana keadaan di lokasi tidak mengizinkam anggota PDPA membuat pencarian secara selaman,” katanya di sini.
Menurutnya lagi, pencarian dibahagikan kepada empat pasukan yang mengandungi lapan anggota setiap pasukan.
Dalam kejadian petang semalam, mangsa didapati hilang, dikhuatiri lemas, ketika mandi di sungai berdekatan Teratak River View Lubuk Hantu, Simpang Empat, di sini.
Pihak JBPM Perak menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 5.06 petang.
Ketika hilang, mangsa berpakaian set baju renang berwarna hitam bertompok hijau.
#Kanak-kanak #lemas #SAR #Teratak River View Lubuk Hantu
;