11 anggota misi WBG termasuk Dr Fauziah yang ditahan Israel dibebaskan - MyCARE
Bernama
Oktober 7, 2016 10:15 MYT
Oktober 7, 2016 10:15 MYT
Wakil tunggal Malaysia dalam misi kemanusiaan 'Women's Boat to Gaza' (WBG) Dr Fauziah Hasan bersama 10 anggota misi itu yang ditahan Israel Rabu lepas, telah dibebaskan.
Jurucakap Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) ketika dihubungi Bernama berkata kesemua mereka sedang diuruskan penerbangan pulang ke negara masing-masing dalam masa terdekat.
Beliau berkata menurut sumber Freedom Flotilla Coalition yang mengasaskan kempen WBG itu, kesemua anggota misi yang menaiki kapal Zaytouna-Oliva berkenaan telah dipindahkan dari Penjara Givon di Ramla (Bandar di tengah Israel) ke pusat tahanan sementara di Lapangan Terbang Ben-Gurion, Israel.
Sementara itu, dua anggota misi yang dibebaskan semalam iaitu wartawan Al-Jazeera dari United Kingdom, Mina Harballou dan Hoda Rakhme dari Rusia telah selamat tiba ke negara masing-masing.
Kapal itu yang dalam perjalanan menuju ke Gaza dikepung rejim Zionis sebelum ditahan dan ditunda tentera Israel ke Pelabuhan Ashdod. -- BERNAMA