11 alasan pasukan pendakwaan mohon kes Ahmad Zahid dihentikan

Sinar Harian
September 4, 2023 16:07 MYT
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan daripada kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Pasukan pendakwaan memohon kes Ahmad Zahid dihentikan dengan memberikan 11 alasan berikut:
1. Setelah memanggil 15 saksi termasuk tertuduh sendiri, keterangan saksi-saksi ini perlu diteliti oleh pihak pendakwaan dan pihak penyiasat.
2. Ahmad Zahid telah mengemukakan dua representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), masing-masing bertarikh 8 Disember 2022 dan 25 Januari lalu.
3. Lanjutan representasi-representasi tersebut, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 20 Januari, memaklumkan kepada AGC bahawa adalah penting untuk siasatan dengan lebih terperinci dilakukan.
4. Ahmad Zahid sekali lagi mengemukakan empat lagi representasi yang membangkitkan isu dan bukti baharu, yang sudah semestinya memerlukan SPRM untuk menyiasat perkara-perkara berkenaan, pada 28 Februari dan 7 Mac lalu.
5. Surat representasi ini turut menyentuh isu siasatan dilakukan sebelum, semasa dan selepas Ahmad Zahid dituduh di mahkamah, maka ia dikatakan dibuat secara terburu-buru, cuai, pramatang dan tidak lengkap.
6. Perkara ini menyebabkan reputasi dan nama baik AGC selaku pihak pendakwaan dan SPRM selaku badan penyiasat tercemar dan dilihat melalui kaca mata umum seolah-olah kedua-dua jabatan ini merupakan institusi undang-undang yang telah diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu.
7. Bagi tidak menafikan hak Ahli Parlimen Bagan Datuk itu atau lebih penting, tiada salah laku di sisi undang-undang, pendakwaan percaya bahawa pertuduhan terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) perlu diberhentikan buat masa ini, - tetapi hanya memberikan kesan lepas tanpa bebas sehingga siasatan yang lebih menyeluruh dan lengkap selesai.
8. Mahkamah ambil maklum mengenai pengumuman Jemaah Menteri untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu yang dibangkitkan dalam buku memoir bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bertajuk 'My Story: Justice In the Wilderness'.
- Pendedahan oleh Tommy, berkaitan pertuduhan dibuat terhadap individu-individu tertentu.
9. Pemimpin UMNO ini turut membangkitkan isu yang amat serius iaitu beliau menjadi mangsa pendakwaan terpilih daripada rejim Kerajaan sebelum ini.
- Peguam Negara berpendapat, amat penting untuk pihak pendakwaan dan SPRM melihat dan turut menyiasat dakwaan ini.
10. Selaras dengan penubuhan RCI, antaranya menyiasat dakwaan pelanggaran tanggungjawab profesional oleh pemegang-pemegang jawatan tertinggi dalam negara ini.
11. Baru-baru ini, satu memo dalaman dikatakan dikeluarkan oleh AGC berkaitan kes yang sedang dibicarakan ini telah tular di media sosial.
- AGC mengambil langkah untuk menentusahkan kandungan memo dalaman tersebut. - Sinar Harian
#Zahid Hamidi #keputusan mahkamah #punca kes dihentikan #alasan pihak pendakwaan
;