11.8 juta penduduk di Malaysia guna data mudah alih sebagai cara akses internet
Bernama
September 21, 2023 07:30 MYT
September 21, 2023 07:30 MYT
PUTRAJAYA: Sebanyak 11.8 juta penduduk berusia 15 tahun ke atas menggunakan data mudah alih sebagai cara akses internet di Malaysia, menurut laporan Banci Malaysia 2020: Kesejahteraan Penduduk (Perhubungan Sosial) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan (DOSM) pada Khamis.
Tujuh kaedah capaian internet yang disenaraikan dalam Banci Malaysia 2020 ialah rumah, tempat bekerja, rumah orang lain, kemudahan akses internet percuma, kemudahan akses internet komunitiu, pusat pendidikan dan data mudah alih.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penemuan itu menunjukkan bahawa akses internet di rumah adalah kedua paling diutamakan dalam kalangan rakyat Malaysia dengan jumlah 5.3 juta pengguna dan diikuti dengan tempat bekerja (2.6 juta orang), kemudahan akses internet percuma (800,000 orang), pusat pendidikan (700,000 orang), rumah orang lian (500,000 orang) dan kemudahan akses internet komuniti (400,000 orang).
"Lelaki adalah pengguna utama akses internet melalui data mudah alih (6.1 juta orang), kemudahan dengan akses internet percuma (400,000 orang), rumah orang lain (300,000 orang) dan kemudahan akses internet komuniniti (200,000 orang).
"Sementara itu, wanita lebih ramai daripada lelaki bagi akses internet di rumah (2.7 juta orang) dan pusat pendidikan (400,000 orang)," katanya.
Banci Malaysia 2020: Kesejahteraan Penduduk (Perhubungan Sosial) merupakan jilid kedua siri penerbitan Kesejahteraan Penduduk selepas Kecergasan yang dikeluarkan pada Jun lepas.
Penerbitan ini memaparkan statistik penduduk berumur 15 tahun dan lebih dalam empat segmen iaitu pengguna akaun media sosial; akses kepada internet; makan bersama dalam masa seminggu dan interaksi bersemuka dengan jiran dalam tempoh sebulan.
Penemuan adalah berdasarkan respons daripada responden. Responden boleh memilih berbilang jawapan untuk semua segmen dengan pengecualian untuk interaksi dengan jiran yang membenarkan hanya satu jawapan.
Mohd Uzir berkata penemuan menunjukkan bahawa antara enam platform media sosial iaitu Facebook, WhatsApp, Instagram, X (dahulunya dikenali sebagai Twitter), Linkedln dan Telegram, WhatsApp mempunyai pengguna media sosial tertinggi dengan 86.5 peratus atau 13.8 juta orang daripada 16 juta yang memberi respons.
Bilangan pengguna yang dilaporkan adalah berdasarkan bilangan penduduk, tanpa mengira berbilang akaun media sosial yang dimiliki oleh individu.
Beliau berkata 12.3 juta orang melaporkan menggunakan Facebook, diikuti Instagram (6.3 juta orang), Telegram (3.7 juta orang), X (1.9 juta orang) dan Linkedln (800,000 orang) dan lain-lain (200,000 orang).
Di bawah segmen Makan Bersama, Mohd Uzir berkata sebanyak 13.3 juta penduduk telah memberi respons dan merujuk kepada bilangan penduduk berumur 15 tahun dan lebih yang makan bersama-sama sebagai keluarga atau dengan ahli isi rumah dalam seminggu semasa bersarapan, kudapan, makan tengah hari, minum petang, makan malam dan makan lewat malam.
Beliau berkata daripada 13.3 juta responden, 81.9 peratus atau 10.9 juta makan bersama semasa makan malam manakala dua per tiga atau 73.4 peratus bersarapan dan 67.4 peratus makan tengah hari bersama-sama.
Beliau berkata peratusan responden makan bersama lebih rendah pada minum petang (19.4 peratus), kudapan (15.3 peratus) dan makan lewat malam (5.9 peratus).
"Dari segi kekerapan, lebih 50 peratus responden makan bersama lima hingga tujuh kali seminggu semasa sarapan pagi (60.3 peratus), makan tengah hari (57.1 peratus) dan makan malam (75.9 peratus).
"Secara umumnya, lebih ramai wanita makan bersama semasa makan malam (5.5 juta orang, sarapan pagi (4.9 juta orang), makan tengah hari (4.6 juta orang), kudapan (1.1 juta orang) dan minum petang (1.4 juta orang). Sebaliknya, lebih ramai lelaki makan bersama semasa makan lewat malam (398,234 orang)," katanya.
Selain itu, Ketua Perangkawan berkata sejumlah 13.8 juta daripada 14.8 juta responden terlibat dalam interaksi bersemuka dengan jiran dalam tempoh sebulan, manakala 958,808 orang tidak pernah mempunyai interaksi bersemuka.
Beliau berkata rakyat Malaysia mempunyai kejiranan yang lebih baik apabila dua per lima atau 41.1 peratus terlibat dalam interaksi bersemuka dengan jiran setiap hari, 41.5 peratus sekurang-kurangnya sekali seminggu dan 10.6 peratus sekurang-kurangnya sekali sebulan.
"Namun begitu, 6.5 peratus atau 960,000 daripada 13.8 juta responden mengaku tidak pernah berinteraksi dengan jiran dalam tempoh sebulan.
"Penduduk berumur 15 hingga 64 tahun berinteraksi dengan jiran sekurang-kurangnya sekali seminggu (41.9 peratus) manakala penduduk berumur 65 tahun dan lebih kebanyakannya bertegur sapa setiap hari (46.7 peratus)," katanya.
Mohd Uzir berkata Bumiputera berinteraksi dengan jiran setiap hari (47.7 peratus) manakala Cina (44.4 peratus) dan India (45.9 peratus) kebanyakannya berinteraksi sekurang-kurangnya sekali seminggu.
-- BERNAMA