11.55 juta daftar PADU, Perlis dan Kelantan rekod peratusan tertinggi
Ridauddin Daud
April 1, 2024 16:45 MYT
April 1, 2024 16:45 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 11.55 juta atau 52.6 peratus warganegara berumur atas 18 tahun berjaya mendaftar dan mengemas kini profil diri di sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, angka itu menjadikan 17.65 juta (58.7 peratus) keseluruhan profil rakyat, termasuk ahli isi rumah bawah 18 tahun, berjaya dikemas kini di dalam sistem tersebut.
Menurutnya, selepas pendaftaran PADU ditutup pada 31 Mac, Kementerian Ekonomi selepas ini akan membentangkan perancangan penyasaran semula subsidi kepada jemaah menteri dalam bulan April.
Menerusi satu kenyataan pada Isnin, Rafizi berkata sebarang pengumuman berkenaan subsidi bersasar akan diumumkan kerajaan pada masa akan datang.
“Kepada warganegara yang tidak berjaya mendaftar dan mengemas kini profil di PADU, data pentadbiran yang sedia adalah mencukupi dan akan digunakan untuk kerajaan menentukan kelayakan individu bagi tujuan penyasaran semula subsidi,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Perlis merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi dengan 66.9 peratus, diikuti Kelantan (65.2 peratus), Terengganu (62.7 peratus), dan Perak (60.3 peratus).
Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya pula merekodkan pendaftaran melebihi 50 peratus.
Sementara itu Johor, Selangor, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan peratus pendaftaran di bawah 50 peratus.
Tambahnya, sekiranya ada keperluan, Kementerian Ekonomi akan umumkan pembukaan semula PADU untuk tempoh yang singkat bagi pendaftaran dan pengemaskinian.
Begitupun, ia hanya akan dilakukan setelah kerajaan membuat keputusan bentuk dan mekanisme subsidi bersasar.
“Di kesempatan ini juga, saya mengucapkan penghargaan saya kepada semua rakyat Malaysia yang telah mengambil inisiatif untuk mendaftar PADU,” ujarnya.