11,469 permohonan pertukaran guru diterima, catat peratusan paling tinggi - Radzi

Abd Hadi Che Awang
Disember 5, 2021 15:35 MYT
Penempatan baharu guru-guru akan dibuat mengikut lokasi yang dipohon serta kekosongan opsyen mata pelajaran yang diajar. - Gambar hiasan
PENDANG: Pengumuman pertukaran guru yang akan dilaksanakan esok, bakal menyaksikan sebanyak 11,469 permohonan pertukaran diterima daripada keseluruhan 20,772 permohonan yang dibuat sebelum ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, jumlah itu juga menunjukkan peratusan permohonan yang berjaya paling tinggi pernah direkodkan iaitu sebanyak 55 peratus berbanding hanya sekitar 20 hingga 30 peratus pada tahun-tahun sebelum ini.
Menurutnya, kriteria pemilihan bagi kelulusan itu adalah dibuat berdasarkan pertimbangan terhadap kumpulan guru yang berkhidmat terutama di Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak yang telah membuat permohonan untuk kembali ke Semenanjung.
Radzi memaklumkan, penempatan baharu guru-guru akan dibuat mengikut lokasi yang dipohon serta kekosongan opsyen mata pelajaran yang diajar.
"Dalam keadaan tertentu, ada guru (yang) tinggal di Sabah, Sarawak, Labuan untuk satu tempoh jangka masa yang panjang, jadi mereka rasakan sudah sampai masa hendak kembali ke Semenanjung (antara sebab yang diberikan adalah) kerana (harga) tiket kapal terbang (dan beberapa alasan lain),
"Oleh itu jika guru dari Sabah, Labuan, Sarawak (membuat permohonan) mahu ke sesebuah negeri (di) Semenanjung tetapi disebabkan opsyen mata pelajaran sudah penuh di negeri tersebut, kita akan tawarkan (kepadanya) negeri terdekat,
"(Ini) sekurang-kurangnya dapat kurangkan tekanan pada guru ini (terutama) dalam konteks kos penerbangan dan sebagainya, (jadi permohonan libatkan guru dari Sabah,Sarawak dan Labuan, kita akan) bawa balik (dan) letakkan mereka di kawasan (negeri yang dipohon atau) negeri terdekat dipohon mereka," kata Radzi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Akademi Sains Pendang di Jalan Jenun di sini, pada Ahad.
Sebelum ini, Radzi memaklumkan permohonan pertukaran guru melalui eGTukar bagi tahun hadapan akan dikeluarkan pada 6 Disember ini (esok).
Menurutnya, pemakluman itu kelak akan membolehkan guru-guru membuat persiapan yang sewajarnya.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menambah baik urusan pertukaran guru dengan mengguna pakai sistem eGTukar yang membenarkan permohonan dibuat secara berterusan berbanding hanya dua kali setahun sebelum ini.
Menerusi sistem itu, pertukaran guru akan dilakukan berasaskan pada kekosongan di negeri-negeri lain dan bukan hanya tertumpu di negeri yang dipohon.
#pertukaran guru #eGTukar #Radzi Jidin #Semenanjung
;