11,160 pelajar terima sumbangan
Astro Awani
Januari 2, 2013 12:32 MYT
Januari 2, 2013 12:32 MYT
Seramai 11,160 pelajar dari 13 buah sekolah rendah dan menengah di kawasan Lembah Pantai bakal menerima perkakas alat tulis sempena sesi persekolahan yang baru bermula hari ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Dato Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata sumbangan itu adalah bagi menaikkan semangat khususnya pelajar tahun satu yang baru memulakan sesi persekolahan.
“Kami mahu kanak-kanak ini berasa gembira dan bersemangat selain mengurangkan beban kewangan ibu bapa yang perlu dihadapi setiap kali sesi pembukaan sekolah,” katanya, sewaktu perasmiannya di Sekolah Kebangsaan (SK) Petaling 1, Taman Sentosa.
Antara sumbangan adalah kotak pencil, pemadam dan pembaris sama seperti yang diumumkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dimulakan dengan SKl Bukit Bandaraya pada tahun 2012.
Selain itu Nong Chik berkata kesemua pelajar tahun satu hingga tingkatan lima bakal menerima bantuan persekolahan sebanyak RM100.
Bantuan akan mula diagihkan pada 15 Januari ini.