106 PATI ditahan dalam serbuan di Pangsapuri Seri Cempaka, Rawang
Bernama
Januari 6, 2024 19:15 MYT
Januari 6, 2024 19:15 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 106 pendatang tanpa izin dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Pangsapuri Seri Cempaka, Rawang awal hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM Jafri Embok Taha berkata kesemua yang ditahan adalah warganegara Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Pakistan berusia antara enam bulan hingga 49 tahun.
Beliau berkata dalam operasi yang bermula pada 12.30 tengah malam itu, pihaknya memeriksa 468 individu susulan aduan awam mengenai pendatang tanpa izin yang disyaki tinggal di kawasan perumahan tersebut.
"Lokasi serbuan yang berada di luar bandar ini agak mencabar kerana laluan masuk kawasan perumahan terhalang dengan kenderaan yang parkir secara tidak teratur menyukarkan kenderaan operasi masuk ke sasaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau antara kesalahan yang dilakukan ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 serta ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Jafri berkata seramai 309 pegawai pelbagai pangkat JIM terlibat dalam operasi itu yang turut dibantu 12 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
-- BERNAMA