106 kluster baharu dikesan, 41.5 peratus daripada tempat kerja

Astro Awani
Mei 10, 2021 07:10 MYT
Menurut Datuk Seri Dr Adham Baba, setakat ini, sebanyak 429 kluster masih aktif di dalam negara sementara 72 kluster ditamatkan pada minggu ke-18 PICK. - Gambar BERNAMA
PUTRAJAYA: Sebanyak 106 kluster baharu dikesan pada minggu ke-18 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), menjadikan jumlah keseluruhan kluster di Malaysia kini berjumlah 1,775.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, setakat ini, sebanyak 429 kluster masih aktif di dalam negara sementara 72 kluster ditamatkan pada minggu ke-18 PICK.
Menurut beliau, terdapat peningkatan 67 peratus kluster ditamatkan pada minggu ke-18 berbanding minggu sebelumnya.
“Pada minggu ke-18, terdapat 106 kluster baharu wujud. Saya ingin maklumkan 44 kluster baharu daripada tempat kerja iaitu sebanyak 41.5 peratus.
“Sebanyak 33 kluster dari komuniti, 19 kluster dari sektor pendidikan, lapan kluster dari keagamaan, satu kluster dari pusat tahanan dan satu kluster daripada kumpulan berisiko tinggi.
“Kluster dalam negara pada minggu ke-18 adalah 106 kluster baharu berbanding 86 kluster pada minggu ke-17,” katanya dalam sidang media Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) secara dalam talian pada Isnin.
Turut hadir Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Dalam sidang media sama, Dr Adham turut berkongsi maklumat berkaitan kapasiti hospital di Malaysia ketika ini.
“Kita dapati bahawa penggunaan katil utk COVID-19 sebanyak 4,866 kes, untuk ‘low risk’ katil yang disediakan 11,403 yang telah pun dimuatkan untuk pesakit.
“Untuk pusat tahanan, kita letakkan sebanyak 3,100 tempat. Jumlah katil utk COVID-19, 67 peratus ‘coverage’, untuk risiko rendah 49 peratus dan pusat tahanan tujuh peratus.
“Untuk katil di Unit Rawatan Rapi (ICU), kita ada guna untuk kes COVID sebanyak 540 katil, ‘ventilator’ yang digunakan utk covid adalah sebanyak 300 unit,” ujar beliau lagi.
#Khairy Jamaluddin #Adham Baba #PICK #menteri #MOSTI #KKM #Menteri Kesihatan #vaksin #pendidikan #kesihatan #unit rawatan rapi #ICU #Hospital #COVID-19 #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan