105 kes jangkitan kencing tikus dicatat di Kedah
Adie Sufian Zulkefli
Jun 21, 2024 20:10 MYT
Jun 21, 2024 20:10 MYT
ALOR SETAR: Kedah mencatatkan sebanyak 105 kes jangkitan leptospirosis atau kencing tikus dengan satu kematian, antara 1 hingga 8 Jun lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK), Dr Ismuni Bohari berkata, jumlah itu dicatatkan pada Minggu Epidemiologi ke-23 dengan peningkatan kes sebanyak 18 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
“Daripada 105 kes daftar, 32 kes disahkan dengan ujian Microscopic Agglutination Test (MAT) manakala 16 kes masih menunggu keputusan makmal (MAT).
"Susulan jangkitan kes kencing tikus yang telah mengunjungi Taman Eko Rimba Lata Bayu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Baling telah menjalankan siasatan dan penilaian risiko di pusat rekreasi tersebut, di mana sampel air dan tanah telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam (MKA) Ipoh.
"Sebagai langkah kawalan, Taman Eko Rimba Lata Bayu telah ditutup oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah bermula 17 Jun lalu sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Nasihat kesihatan juga telah diberikan kepada semua pengunjung Taman Eko Rimba Lata Bayu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini Astro AWANI melaporkan, dua pengunjung yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital kerana disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus selepas berkunjung ke Taman Eko Rimba Lata Bayu, dilaporkan stabil.
Difahamkan dua terbabit sudah sembuh.
Mengulas lanjut, Dr Ismuni berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan terkini kejadian leptospirosis serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan dengan kerjasama semua agensi yang berkaitan.
Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan semasa mengunjungi pusat rekreasi dan sekiranya bergejala, mereka perlu segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.
"Leptospirosis merupakan sejenis penyakit zoonotik (penyakit yang berjangkit daripada haiwan kepada manusia) yang disebabkan oleh bakteria Leptospira.
"Manusia boleh dijangkiti melalui luka pada kulit atau membran mukus yang terdedah kepada bahan tercemar termasuk air, tanah dan makanan ataupun jika tertelan bahan-bahan tercemar tersebut.
"Pelbagai haiwan liar dan domestik boleh menjadi perumah kepada bakteria leptospira antaranya adalah tikus, kucing, anjing, lembu, babi, arnab, kuda dan sebagainya.
“Leptospirosis adalah endemik di negara beriklim tropika termasuk Malaysia. Tempoh pengeraman adalah antara dua hingga 30 hari, gejala jangkitan adalah demam, menggigil, sakit badan,otot, sakit kepala, batuk tidak berkahak, loya, muntah dan cirit-birit," katanya.