104,110 vaksin COVID-19 untuk Sabah dalam fasa pertama
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Februari 25, 2021 16:36 MYT
Februari 25, 2021 16:36 MYT
KOTA KINABALU: Sebanyak 104,110 vaksin diperuntukkan bagi Sabah buat masa ini yang akan dihantar ke negeri itu dalam enam penghantaran, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata penghantaran pertama dilakukan hari ini manakala yang keenam akan dibuat pada 1 April 2021.
"Vaksin ini akan datang dalam enam kumpulan semuanya. Kumpulan pertama bermula hari ini dan sehingga terakhir pada 1 April. Untuk kumpulan pertama hari ini sebanyak 16,380 dos vaksin diterima.
"Kumpulan kedua pada 4 Mac sebanyak 9,360 dos vaksin; ketiga iaitu pada 11 Mac sebanyak 24,550; keempat 18 Mac sebanyak 3,510; kelima 25 Mac sebanyak 18,720 dan keenam pada 1 April sebanyak 31,590.
"Ia kemudian akan disambung pada kumpulan penghantaran lain sehingga vaksin-vaksin tersebut cukup dihantar ke Sabah," katanya selepas menyambut ketibaan pesawat B767-223 yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada Khamis.
Menurutnya tiga individu pertama yang akan menerima vaksin pada 4 Mac 2021 adalah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.
"Secara rasmi ia akan dilancarkan oleh Ketua Menteri pada 4 Mac dan kita telah memilih tiga orang (penerima pertama) dan bukan semua orang politik.
"Pertama adalah Ketua Menteri selaku ketua kerajaan, Pengarah Kesihatan Negeri dan ketiga adalah Pesuruhjaya Polis Sabah.
"Selepas itu bagi kepada kumpulan yang berasingan dan akan dilakukan pada hari yang sama.
"Peringkat seterusnya diserahkan kepada Pengarah Kesihatan untuk disuntik kepada petugas barisan hadapan," katanya.
#Sabah
#vaksin
#MyVaksinCOVID19
#Pfizer
#Masidi Manjun
#penghantaran
#Kota Kinabalu
#fasa pertama
#Hajiji