Kerajaan mendedahkan senarai 101 projek yang dikatakan diberi secara rundingan terus (RT) sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan dahulu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Kementerian Pengangkutan mendahulu senarai sebagai pemberi tender paling besar dengan nilai sebanyak RM4.47 bilion untuk empat projek.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia pula mendahului senarai sebagai pemberi projek paling banyak, iaitu sebanyak 12 projek dengan jumlah keseluruhan bernilai RM380.1 juta.

Menurut Tengku Zafrul, perolehan secara RT dibenarkan dengan kelulusan Kementerian Kewangan, berdasarkan peruntukan sedia ada di bawah Seksyen 6(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 (Semakan 1972) dan pekeliling-pekeliling perbendaharaan yang berkaitan.

“RT dibenarkan atas dasar proses perolehan yang memenuhi salah satu atau lebih daripada syarat-syarat seperti - perolehan bekalan dan perkhidmatan melibatkan keperluan mendesak, yang mana jika perolehan tersebut tidak dilaksanakan dengan segera, ia boleh memudaratkan dan menjejaskan perkhidmatan serta kepentingan negara.

“Keperluan penyeragaman bagi memastikan kesesuaian penggunaan (compatibility) antara barangan sedia ada dengan barangan baru yang diperoleh; dan satu punca bekalan atau perkhidmatan iaitu pengeluaran produk atau penyediaan perkhidmatan hanya boleh dibekalkan daripada satu sumber sahaja,” kata beliau dalam kenyataan yang diedarkan pada Rabu.

BACA: Dewan Rakyat 'panas' isu kelulusan 101 projek bernilai RM6.61 bilion



BACA: 101 Projek: Tun M minta Tengku Zafrul dedahkan siapa yang dapat 'nikmat istimewa'

Selain itu, beliau berkata, RT juga dibenarkan sekiranya ia melibatkan keselamatan atau kepentingan strategik negara atau kontrak dengan syarikat pembuat Bumiputera memenuhi semua syarat kelayakan.

Pada Isnin lepas, Tengku Zafrul dalam persidangan Dewan Rakyat memberitahu, rekod telah menunjukkan Kementerian Kewangan ketika diterajui Lim Guan Eng sebelum ini, telah meluluskan 101 projek berkenaan secara rundingan terus.

Namun, beliau menjelaskan, dalam keadaan tertentu, kaedah perolehan secara rundingan terus dibenarkan dengan kelulusan Kementerian Kewangan berdasarkan kriteria tertentu seperti melibatkan keperluan negara yang mendesak.

Susulan pendedahan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, mereka akan mendapatkan senarai 101 projek daripada Kementerian Kewangan yang dikatakan diberi secara runding terus, semasa era PH.

Guan Eng dalam kenyataan balas di Parlimen hari ini menzahirkan rasa khuatir agensi itu akan mengamalkan ‘double standard’ serta menjadi senjata politik pihak tertentu.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, SPRM perlu bersikap adil, dan turut melancarkan kajian ke atas semua projek rundingan terus sewaktu zaman pentadbiran Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

BACA: 101 Projek: Lim Guan Eng khuatir SPRM 'double standard', jadi senjata politik pihak tertentu