100 rumah, 50 kedai hangus dijilat api dalam kebakaran di Kunak
Bernama
Jun 29, 2014 17:16 MYT
Jun 29, 2014 17:16 MYT
Kira-kira 100 buah rumah setinggan dan 50 rumah kedai musnah dalam kebakaran di Jalan Masjid Raya, Kampung Pangkalan, Kunak dekat sini awal hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kunak Jaafar Salleh berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.48 pagi dan dua jentera bomba bersama lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
"Kami turut menerima bantuan satu jentera bomba dan enam anggota dari balai Tawau. Kami sampai ke tempat kejadian pukul 1.51 pagi dan kebakaran itu berjaya dikawal lebih kurang 5.20 pagi dan operasi selesai sepenuhnya 7.59 pagi tadi," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata pihaknya menghadapi kesukaran memadam kebakaran itu disebabkan kedudukan rumah yang rapat serta keadaan angin kencang menyebabkan api marak dengan cepat.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian dalam siasatan, katanya.