100 hari PICK: Pemberian dos vaksin tertinggi semalam

Astro Awani
Jun 4, 2021 16:16 MYT
Setakat Khamis, lebih 3.33 juta dos vaksin sudah diberi kepada penduduk negara ini merangkumi tiga jenis vaksin iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kadar pemberian vaksin COVID-19 harian di negara ini mencatatkan rekod tertinggi pada Khamis dengan 117,563 dos diberikan kepada penerima.
Jumlah itu juga direkodkan selepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) genap 100 hari ia berlangsung.
Perkara itu dimaklumkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi akaun media sosialnya hari ini.
Setakat Khamis, lebih 3.33 juta dos vaksin sudah diberi kepada penduduk negara ini merangkumi tiga jenis vaksin iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.
Jumlah itu membabitkan 2.2 juta bagi dos pertama dan 1.12 juta bagi dos kedua.
Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata kerajaan meletakkan sasaran memberi 150,000 dos suntikan setiap hari bulan ini dan ditingkatkan kepada 200,000 suntikan menjelang bulan depan.
Katanya, kadar peratusan penduduk negara ini yang menerima vaksin sekurang-kurangnya satu dos sudah melepasi Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.
PICK dimulakan pada 24 Februari lalu, dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama yang menerima suntikan.
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #suntikan #dos pertama #dos kedua #COVID-19 #AstraZeneca #Khairy Jamaluddin #Perdana Menteri #vaksin
;