100 hari pasca PRU13: Halatuju kerajaan masih belum jelas
Astro Awani
Ogos 13, 2013 18:59 MYT
Ogos 13, 2013 18:59 MYT
Hari ini genap 100 hari pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pasca Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Felo Penyelidik Utama Sosiolinguistik Bahasa Melayu, ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berpendapat selepas 100 hari, Najib terus membina negara ke arah sikap kesamaan dan sikap kekitaan di kalangan rakyat selain memantapkan pelan-pelan transformasi yang dirancang sebelum ini.
"Beliau terus cuba membawa pelaburan dari luar masuk ke Malaysia dan mencari pasaran baru di luar negara untuk barangan dari Malaysia.
"Dari segi agama Islam pula, beliau berusaha untuk terus mengagungkan agama Islam supaya negara terus berada di landasan yang betul," katanya ketika menjadi tetamu Buletin Awani Khas hari ini.
Sementara itu pandangan berbeza diberikan oleh bagi Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Kedah, Tunku Nashril Tunku Abaidah, 100 hari pasca PRU13 pentadbiran Najib agak perlahan dan halatuju kerajaan hingga hari ni masih belum jelas.
Katanya, pelbagai isu belum diselesaikan dan halatuju baru kerajaan masih belum ditetapkan selain meneruskan dasar-dasar yang telah diumumkan sebelum ini.
"Kalau diambil contoh dari segi kabinet yang dibentuk selepas PRU13, sehingga hari ini masih belum jelas struktur dan halatuju setiap kementerian terutama kementerian yang bergabung.
"Contohnya kalau kita lihat, struktur Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang digabung sehingga kini masih belum jelas, sebab itu saya katakan 100 hari ini masih perlahan," katanya.
Daris segi masalah perkauman, Najib dilihat sedaya upaya berusaha membina perpaduan antara kaum dan meningkatkan integrasi antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak.
Selanjutnya ikuti video yang disediakan Astro AWANI.