100 Hari Kerajaan Perpaduan: Kurangkan pemusatan kuasa, perkukuh autonomi Sabah, Sarawak

Astro Awani
Februari 26, 2023 14:14 MYT
Sambil memberi contoh penurunan kuasa Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menjelaskan perkara itu perlu diperkukuhkan kedua-dua wilayah tersebut bagi memastikan perancangan sesuatu strategi sampai ke golongan sasar. - Astro AWANI.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan kabinetnya perlu menterjemahkan konsep Malaysia Madani secara menyeluruh kepada Wilayah Sabah dan Sarawak.
Sambil memberi contoh penurunan kuasa Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menjelaskan perkara itu perlu diperkukuhkan kedua-dua wilayah tersebut bagi memastikan perancangan sesuatu strategi sampai ke golongan sasar.
"Ramai yang tidak faham selama ini sekurang-kurangnya 10 sektor jabatan diurus tadbir secara autonomi contohnya pertanian, penternakan, perhutanan perlabuhan dan pekapalan, air dan sebagainya.
"Apa yang kita ingin lihat adalah bagaimana kita dapat mengurangkan pemusatan kuasa (decentralise) itu... maknanya memperkukuh autonomi wilayah Sabah atau Sarawak dengan agensi dalam sektor-sektor ini yang ada di Semenanjung," katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.
Dalam masa sama, Madius juga mahu memastikan Sabah mendapat peruntukan sewajarnya dalam bidang-bidang yang selama ini difikirkan tidak diberi perhatian atau mendapat pembelaan sewajarnya.
"Pertanian sebagai contoh, kita ada dasar pertanian negara tetapi hanya terpakai di Semenanjung sahaja kerana di Semananjung ini diurus tadbir dengan Jabatan Pertanian Semenanjung yang dijenamakan Jabatan Pertanian Negara yang berpusat beroperasi di sini (Semenanjung)," ujarnya.
Sehubungan itu, tambah beliau, peranan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili Sabah dan Sarawak perlu diperkasa dan dipertingkatkan.
"Antara peranannya yang penting bagaimana beliau (Fadillah) mahu menyelaraskan unit-unit kerajaan di peringkat wilayah itu dapat diselaraskan di peringkat nasional dengan melihat dasar dan peruntukan supaya kita dapat sama-sama bergerak sebagai sebuah negara dan bukan dalam keadaan bersendirian," katanya.
#Kerajaan Perpaduan
;