100 Hari Kerajaan Perpaduan: Kerjasama politik masih jadi persoalan rakyat - Kaji selidik
Madiha Abdullah
Februari 26, 2023 15:00 MYT
Februari 26, 2023 15:00 MYT
KUALA LUMPUR: Hubungan kerjasama antara parti politik dalam Kerajaan Perpaduan dilihat menerima reaksi berbaur dalam kalangan rakyat dan ini mampu menjadi indikasi bahawa rakyat masih berada di atas pagar berhubung keyakinan mereka terhadap kestabilan kerajaan hari ini.
Berdasarkan dapatan kaji selidik mega sempena 100 Hari Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan anggaran 36 peratus responden berpendapat, hubungan antara parti dalam kerajaan tidak berjalan baik, 34 peratus pula berpendapat ia berjalan dengan baik, manakala bakinya tidak pasti.
Ia boleh menjadi indikasi bahawa rakyat masih berada di atas pagar berhubung keyakinan mereka terhadap kestabilan kerajaan hari ini.
Bagi komponen parti dalam kerajaan, Pakatan Harapan dan MUDA menerima respon paling baik apabila 59 peratus percaya semua parti bekerja dengan baik, diikuti Gabungan Parti Sarawak (45 peratus), Barisan Nasional (43 peratus) dan Gabungan Rakyat Sabah (28 peratus).
Kaji selidik secara dalam talian itu digerakkan secara bersama oleh Sinar Harian, Astro Awani, Sin Chew, The Star dan Malaysia Nanban dengan kerjasama firma penyelidikan, O2 Research.
Lebih 36,000 responden mengambil bahagian dalam kaji selidik yang dijalankan selama 10 hari tersebut.
Sebelum ini, kaji selidik mega pernah digerakkan lima media perdana negara bersama firma penyelidikan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dengan membawa mesej jelas iaitu mengumpulkan hasrat dan suara rakyat Malaysia.
Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November tahun lalu setelah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.