100 Hari Kerajaan Perpaduan: Kaum Melayu paling ramai lihat ekonomi Malaysia bertambah buruk - Kaji Selidik

Rahimah Abdullah
Februari 26, 2023 13:00 MYT
Momentum pemulihan ekonomi negara dilihat berterusan meskipun berdepan persekitaran luaran tidak menentu, termasuk gangguan rantaian bekalan dan konflik geopolitik. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Momentum pemulihan ekonomi negara dilihat berterusan meskipun berdepan persekitaran luaran tidak menentu, termasuk gangguan rantaian bekalan dan konflik geopolitik.
Selepas berdepan pelbagai cabaran ekonomi semasa tempoh pandemik COVID-19 yang lalu, pengukuhan dalam permintaan domestik, peluang pekerjaan dan pelaburan, mengekang negara daripada situasi kemelesetan ekonomi pada masa ini.
Dengan pengumuman berita baik demi berita baik mengenai situasi ekonomi dibuat kerajaan, adakah rakyat sudah berpuas hati dengan angka yang dilihat 'cantik' di kertas?
Kaji Selidik Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan mengenai pandangan rakyat terhadap ekonomi negara bagi Disember hingga Februari 2023 menunjukkan, daripada keseluruhan lebih 35,000 responden, 39 peratus melihat situasi ekonomi negara bertambah buruk, 38 peratus mengatakan bertambah baik dan 23 peratus responden lagi mengatakan tiada perubahan.
Kaji selidik turut menunjukkan, kaum Melayu di Semenanjung paling ramai mengatakan ekonomi Malaysia bertambah buruk, iaitu sebanyak 53 peratus.
Manakala, 22 peratus berpendapat bertambah baik dan 25 peratus melihat ekonomi Malaysia tidak berubah.
Keadaan itu berbeza pula dengan kaum lain, di mana peratusan responden mengatakan ekonomi Malaysia bertambah baik adalah jauh lebih tinggi berbanding sentimen ekonomi negara lebih buruk.
Ia menunjukkan, kaum India paling ramai mengatakan ekonomi negara bertambah baik iaitu sebanyak 70 peratus, dan hanya 11 peratus mengatakan sebaliknya, serta 19 peratus lagi merasakan tiada perubahan.
Kaum Cina juga merekodkan 58 peratus merasakan ekonomi Malaysia bertambah baik dan masing-masing 21 peratus bagi situasi bertambah buruk dan tiada perubahan.
Kabinet Perpaduan Nasional 2023
Bagi Bumiputera Sabah dan Sarawak pula, lebih separuh daripada responden mengakui ekonomi Malaysia bertambah baik dengan masing-masing merekodkan 53 peratus dan 58 peratus.
Lain-lain kaum juga mempunyai sentimen sama, apabila 49 peratus responden mengatakan ekonomi Malaysia bertambah baik, manakala hanya 25 peratus mengatakan bertambah buruk, dan baki 26 peratus lagi merasakan tiada perubahan.
Tinjauan ini merupakan sentimen rakyat berhubung prestasi dan populariti pentadbiran Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Seramai 35,077 respons berjaya diperoleh daripada pembaca dan pelayar agensi media dan berita dari seluruh negara.
Pengumpulan data kajian telah dijalankan selama 10 hari bermula 6 Februari hingga 16 Februari.
Kerjasama kajian dijalankan antara firma penyelidikan O2 Malaysia dengan lima media arus perdana, Sinar Harian, Awani, The Star, Sin Chew dan Malaysia Namban.
#kaji selidik #Anwar Ibrahim #Pilihan Raya Umum ke-15 #Kerajaan Perpaduan
;