100 Hari Kerajaan Perpaduan: Anthony Loke jadi 'Menteri Pilihan Rakyat' - Kaji selidik
Madiha Abdullah
Februari 26, 2023 08:15 MYT
Februari 26, 2023 08:15 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, adalah menteri dalam kabinet Kerajaan Perpaduan yang paling popular dalam kalangan rakyat.
Dapatan kaji selidik mega Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan, menyaksikan populariti Loke mendahului Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan memperoleh 49 peratus undi, sekali gus meletakkan Anwar di tempat kedua dengan 40 peratus undi.
Turut menyerlah menurut penilaian rakyat ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, di tempat ketiga dengan 39 peratus undi.
Dua lagi tempat dalam senarai Top 5 Menteri Pilihan Rakyat diisi Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dengan 34 peratus, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman, yang memperoleh 33 peratus undi.
Beberapa lagi menteri yang turut menunjukkan prestasi yang baik berdasarkan pilihan rakyat, antaranya Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil (30 peratus), Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (28 peratus) dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub (27 peratus).
Kaji selidik secara dalam talian itu digerakkan secara bersama oleh Sinar Harian, Astro AWANI, Sin Chew, The Star dan Malaysia Nanban dengan kerjasama firma penyelidikan, O2 Research.
Lebih 36,000 responden mengambil bahagian dalam kaji selidik yang dijalankan selama 10 hari tersebut.
Sebelum ini, kaji selidik mega pernah digerakkan lima media perdana negara bersama firma penyelidikan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dengan membawa mesej jelas iaitu mengumpulkan hasrat dan suara rakyat Malaysia.
Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November tahun lalu setelah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.