100 Hari Kerajaan: Beri peluang enam bulan melaksanakan dasar - Juanda

Fadilah Sulaiman
Februari 26, 2023 18:30 MYT
Juanda berkata, tidak adil untuk mengukur kejayaan atau kegagalan Kerajaan Persekutuan dalam tempoh 100 hari pemerintahan
KUCHING: Tidak adil untuk mengukur kejayaan atau kegagalan Kerajaan Persekutuan dalam tempoh 100 hari pemerintahan kerana tempoh itu adalah ruang untuk barisan kepimpinan baharu itu belajar, meneliti dan merancang pentadbiran negara.
Kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Juanda Jaya, rakyat perlu memberi peluang selama enam bulan untuk Kerajaan Perpaduan membuktikan kemampuannya melaksanakan mandat rakyat.
Malah tambahnya, biarpun di bawah payung Kerajaan Perpaduan yang mewakili pelbagai kelompok, ideologi serta pendekatan, beliau yakin kesemua pemimpin tersebut mempunyai satu matlamat untuk memajukan Malaysia agar rakyat dapat menikmati arus pembangunan.
“Persoalan pada apa saja dasar adalah pelaksanaan. Sebab itu kerajaan yang sedia ada perlu lihat kepada bakat atau kata lainnya meritokrasi. Rakyat Malaysia yang cerdik pandai ramai tak kira dia muda, tua, apa aliran politik mereka… Kalau mereka mampu untuk melaksanakan sesuatu yang baik untuk negara kita, saya syorkan kerajaan sedia ada bawa mereka masuk.
“Saya yakin patriotisme dan nasionalisme rakyat Malaysia tidak ada keraguan padanya. Dasar yang baik kalau tidak ada pelaksanaan yang baik dasar itu hanya akan ada di atas kertas saja dan orang akan menjatuhkan kerajaan yang hanya bercakap di atas kertas tetapi pelaksanaan tidak dapat dirasai oleh rakyat,” katanya semasa ditemui AstroAWANI di Kuching pada Ahad.
Dalam pada itu katanya suhu politik negara juga agak sejuk ketika ini dan ia petanda rahmat yang baik untuk Malaysia dalam mendepani tantangan krisis ekonomi dunia serta pasca COVID-19.
“Suka juga saya sebut fokus yang perlu dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan yang sedia ada banyakkan kerja kurangkan bercakap, fokus pembangunan, perangi ketirisan. Kita tengok berapa orang dah Perdana Menteri sebut perkara sama tapi nampaknya kurang kejayaan.
“Perangi rasuah sehingga ke akar umbi. Yang menerima dihukum, yang memberi juga perlu dihukum sebab kita tahu ketirisan akibat rasuah berpuluh bilion duit yang sepatutnya sampai kepada rakyat itu disalahgunakan oleh pihak yang tertentu,” tekannya lagi.
#100 Hari Kerajaan #Kerajaan Perpaduan #kegagalan #Sarawak
;