100 Hari Keluarga Malaysia: Bantuan kerajaan beri sinar buat peniaga jalanan
Nur Fazlizai Ali
Disember 2, 2021 21:50 MYT
Disember 2, 2021 21:50 MYT
KUALA TERENGGANU: Pelbagai program bantuan dan sokongan kerajaan kepada rakyat serta pengusaha perniagaan termasuk ketika pembentangan Bajet 2022 memberi sinar baharu buat peniaga jalanan di Terengganu.
Rata-rata peniaga yang ditemui Astro AWANI melahirkan rasa syukur dengan keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan terbabit untuk kembali bangkit setelah terjejas akibat pandemik COVID-19.
Peniaga makanan, Fazilawati Harun, 46, berkata bantuan diterima dijadikan sebagai modal perangsang untuk memulakan kembali perniagaan setelah mengalami kerugian ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
"Syukur dapat bantuan sebab masa PKP memang saya tak ada sumber pendapatan lain. Berniaga di sinilah satu-satunya sumber pendapatan saya.
"Bagi peniaga tepi jalan ini, kita amat bersyukurlah Perdana Menteri kita teruskan dengan bantuan yang diberi selama ini... Alhamdulillah... Moga-moga berterusanlah.
"Untuk peniaga macam saya, kita rasa tidak tercicir dengan bantuan yang diberikan... kita pun boleh tambah modal untuk berniaga... kita syukur sangat dan berterima kasih," katanya.
100 hari Keluarga Malaysia | Penjaja jalanan tidak dilupakan
Peniaga minuman, Khadijah Sabli, pula berkata: "Eloklah tindakan kerajaan ini, Keluarga Malaysia ini tidak ditinggalkan (tercicir) di mana-mana peringkat.
"Saya ini berniaga di tepi jalan saja... peniaga dari bawah sampai atas sedikit sebanyak dibantu... semua dapatlah bantuan... walaupun sedikit, orang kata sikit-sikit pun tak apa, kalau banyak lebih baik.
"Sekarang ini saya pun mula berniaga semula sedikit demi sedikit. Orang kata peniaga jalanan ini walaupun tak banyak tapi tetap boleh membantu ekonomi negara. Terima kasih kepada kerajaan tidak tinggalkan kami di bawah ini," katanya.
Peniaga kuih bakar, Roslan Mustafa berkata: "Musim pandemik sebelum ini kita tidak dibenarkan berniaga... simpanan semua sudah makin susut, modal pun makin kurang.
"Jadi bila ada bantuan macam itu, ia dapat membantu kita untuk tambah balik modal untuk sementara. Macam pekerja-pekerja, masa itu tidak bekerja pun kita dapat bagi (gaji). Pendapatan walaupun sedikit amat penting untuk kami," katanya.
Peniaga kuih bakar, Zakri Syafik Roslan, berkata: "Bantuan yang diberikan kerajaan boleh membantu ramai orang terutama yang terpaksa berhenti kerja ketika tempoh pandemik.
"Jadi bantuan itu dapat bantu memulakan kembali kehidupan dari bawah. Baguslah ada bantuan daripada kerajaan," katanya.
Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan peruntukan sebanyak RM332.1 bilion pada pembentangan Bajet 2022.
Belanjawan yang dibentangkan ketika negara baru sahaja keluar daripada langkah kawalan wabak yang sangat ketat dan dijajarkan dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), adalah kira-kira RM9.6 bilion mengatasi RM322.5 bilion yang diperuntukkan bagi belanjawan tahun lepas.
Selain itu, Tengku Zafrul turut mengumumkan pakej pembiayaan sebanyak RM40 bilion di bawah program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (Semarak Niaga).
Ia antara lain merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti.