100 anggota polis kawal keselamatan - Nik Ezanee Mohd. Faisal

Sahlizah Mohamed
Februari 23, 2020 19:34 MYT
Nik Ezanee Mohd. Faisal sahkan mesej yang tular di WhatsApp adalah benar dan bukan palsu. - Gambar fail
Sekitar 100 anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya terlibat dalam penugasan kawalan keselamatan berhubung sidang media khas membabitkan kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sebuah hotel di Petaling Jaya, hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, mesej yang tular di aplikasi WhatsApp sejak awal pagi tadi itu bukan pesanan palsu.
“Sejak awal pagi tadi, banyak status berlegar di media sosial dipercayai Dr Mahathir ada di sekitar Petaling Jaya menghadiri sidang media khas.
“Ada yang kata beliau berada di tempat itu dan di tempat ini. Petaling Jaya berada di bawah kendalian saya, jadi kami perlu mengambil langkah keselamatan yang sepatutnya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.
Menurut Nik Ezanee, anggota yang bertugas mula berkawal sejak pukul 8 pagi di sekitar Petaling Jaya serta beberapa kawasan tumpuan utama.
Terkini, kata beliau, situasi di semua lokasi kawalan berada dalam keadaan tenang tanpa sebarang gangguan.
Sejak pagi Ahad, orang ramai menerima mesej jadual gerak kerja polis bagi mengawal keselamatan Dr Mahathir dan pemimpin-pemimpin parti politik.
Ia ekoran mesyuarat tergempar oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), penyokong kem Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta UMNO.
Difahamkan, pemimpin dari parti-parti berkenaan sudah berada di Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menerangkan mengenai keadaan politik masa kini.
Media juga difahamkan kemungkinan besar akan ada sidang media khas mengenai perkembangan terbaharu landskap politik tanah air.
BACA: Apa maksud 5 mesyuarat politik diadakan serentak hari ini?
B
ACA: Azmin, Zuraida buat pengumuman besar petang ini?
#Astro Awani #hotel #keselamatan #Mahathir Mohamad #Petaling Jaya #polis #WhatsApp
;