100,000 pelajar tercicir daripada sistem pendidikan negara setiap tahun - Zul Fikri
Fareez Azman
Januari 2, 2023 07:45 MYT
Januari 2, 2023 07:45 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) disaran merangka satu pelan pemulihan untuk membimbing pelajar sekolah yang tercicir dalam sistem pendidikan nasional.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Untuk Malaysia, Zul Fikri Zamir, kajian di lapangan mendapati hampir 100,000 pelajar dianggap tercicir daripada sistem pendidikan dan ia realiti yang amat membimbangkan.
"Kita ambil contoh, kita ada lebih kurang 25,000 (pelajar) berdaftar mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tapi tidak hadir.
"Kebanyakan mereka ini, kita percaya memang tidak hadir ke sekolah... oleh sebab mereka tidak minat atau tidak berniat mengambil SPM... (tapi) nama mereka didaftarkan oleh guru atau sekolah masing-masing.
"Kedua kita ada lebih kurang 45,000 anak-anak SPM yang tidak berjaya mendapatkan sijil SPM mereka. Antaranya kerana tidak lulus Bahasa Melayu dan Sejarah.
"Ada lebih kurang 400,000 yang menduduki SPM tapi peratusan yang tidak mendapat sijil ini amat menakutkan iaitu lebih kurang 12 peratus," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Isnin.
Beliau berkata, selain itu ramai juga pelajar yang tercicir disebabkan faktor-faktor lain yang angkanya mencecah kira-kira 30,000 setiap tahun.
Mengulas lanjut, katanya penutupan sesi persekolahan selama 42 minggu akibat pandemik COVID-19 sebelum ini juga antara punca keciciran.
Lebih membimbangkan ujarnya, kesan jangka masa panjang terhadap kualiti hidup golongan pelajar tercicir berkenaan.
"Ini memberi kesan kepada kehidupan mereka di luar sana, jika tidak berjaya dapat sijil SPM, ada keberangkalian mereka akan mendapat pendapatan lebih rendah seumur hidup.
"Jadi ramai anak-anak ini tidak bekerja dapat gaji setimpal... tidak dapat bekerja. Saya difahamkan misalnya, kedai-kedai serbaneka biasa memerlukan syarat sekurang-kurangnya kelulusan SPM.
"Oleh sebab itu setiap tahun kita jangkakan lebih kurang 70,000 anak-anak kita yang tercicir SPM sama ada tidak hadir atau tidak berjaya mendapatkan sijil.
"Dikhuatiri sepanjang hidup mereka kehilangan pendapatan 'bermaruah' seperti diguna pakai oleh Bank Dunia," katanya.
Justeru, ujarnya satu sistem pemulihan perlu dirangka dalam menyelamatkan golongan pelajar yang tercicir agar hak pendidikan itu diberikan kepada semua rakyat di negara ini.
"Kalau kita tahu berapa besar masalah kita hadapi, lebih mudah kita menyediakan pelan pemulihan yang sesuai.
"Kalau kita confirm data keciciran kita 100,000 pelajar setiap tahun dan 10 tahun menjangkau satu juta anak-anak... jadi kita boleh memanfaatkan semua pihak untuk bekerjasama.
"Kalau ia lebih besar daripada itu iaitu sama tara dengan negara Thailand (1.2 juta keciciran), kita juga harus cari cara bagaimana nak jejak anak-anak ini, ke mana mereka pergi sekarang... di mana mereka akan bekerja dalam masa dua hingga lima tahun selepas ini, supaya kita dapat membuat kira-kira berkenaan produktiviti negara.
"Semua ini memberi kesan bukan sahaja ekonomi negara, tapi kesan kepada produktiviti negara dalam masa lima hingga 10 tahun," katanya lagi.