10 tokoh dilantik anggotai Majlis Pekerjaan Negara
Faris Danial Razi
Februari 9, 2021 18:11 MYT
Februari 9, 2021 18:11 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 10 tokoh dari sektor korporat, industri dan pendidikan telah dilantik sebagai anggota Majlis Pekerjaan Negara atau National Employment Council (NEC).
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Selasa, selain itu NEC akan disokong oleh pasukan petugas peringkat tertinggi yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Antara individu yang dilantik adalah Pengerusi Petronas merangkap Procanselor Universiti Teknologi Petronas, Tan Sri Ahmad Nizam Salleh dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.
Tambah PMO, Pasukan Petugas Khas (STF) pada masa sama telah membentangkan strategi bagi menangani isu pengangguran dan ketidaksepadanan pekerjaan bagi mencapai objektif pemadanan modal insan berdasarkan permintaan industri.
“Melalui koordinasi rapat di antara kerajaan dan industri, dianggarkan lebih 160,000 pekerjaan baharu bakal diwujudkan bagi tahun 2021 melalui komitmen pelaburan (committed investment).
“Kerajaan mengalu-alukan tawaran Federation of Malaysian Manufacturers dan SME Association of Malaysia untuk bekerjasama bagi mengatasi kadar pengangguran melalui inisiatif di bawah Belanjawan 2021 terutamanya Peningkatan Kemahiran dan Pendigitalan,” jelas kenyataan itu lagi.
[INFOGRAFIK] Keputusan Majlis Keselamatan Negara
Jelas Pejabat Perdana Menteri lagi, kerajaan optimis sasaran yang ditetapkan dapat dicapai memandangkan strategi yang dirangka turut mengambil kira kepatuhan terhadap pelaksanaan PKP dan norma baharu.
“Antara inisiatif dengan norma baharu adalah penganjuran sebanyak 200 sesi webinar serta 180 sesi temuduga secara dalam talian.
“Pelbagai promosi turut dijalankan bagi memastikan rakyat mendapat maklumat seterusnya memanfaatkan peluang yang ditawarkan.
Setiap STF juga akan bekerjasama dengan pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi memastikan setiap pelaksanaan bersifat inklusif,” tambahnya lagi.
Berikut merupakan 10 tokoh dari sektor korporat, industri dan pendidikan yang telah dilantik secara tetap:-
- Tan Sri Ahmad Nizam Salleh, Pengerusi Petronas merangkap ProCanselor Universiti Teknologi Petronas
- Datuk Shahril Ridza Ridzuan, Pengarah Urusan Khazanah Nasional
- Tengku Muhammad Taufik, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas
- Datuk Jeffri Salim Davidson, Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby
- Datuk Dr Syed Hussain bin Syed Husman, Presiden Malaysian Employers Federation
- K Raman, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia
- Chee Hong Lee, Pengarah Urusan Infineon Technologies (Malaysia)
- Sean Goh, Pengarah Urusan Grab Malaysia
- Datuk Michael Kang Hua Keong, Pengerusi Nasional SME Association of Malaysia
- Tan Sri Datuk Soh Thian Lai, Presiden Federation of Malaysian Manufacturers (FMM)
#Petronas
#Microsoft
#Sime Darby
#Khazanah
#NGO
#Perdana Menteri
#Majlis Keselamatan Negara
#Belanjawan 2021
#Pelaksanaan PKP
#PKP
#kerajaan
#Majlis Pekerjaan Negara
#NEC
#pelaburan
#rakyat
#pendidikan