10 terlibat insiden konvoi kereta mewah halang lalu lintas dipanggil petang ini
Bernama
Mac 22, 2022 16:40 MYT
Mac 22, 2022 16:40 MYT
JOHOR BAHRU: Seramai 10 individu dipercayai terlibat dalam insiden kumpulan konvoi kereta mewah berhenti di Kilometer 34, Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, Jumaat lepas, akan dipanggil petang ini bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua mereka akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, bagi membantu siasatan kes berkenaan membabitkan tiga kesalahan iaitu memandu secara melulu, memukul pemandu wanita dan membuat halangan di jalan raya.
Setakat ini, pihaknya hanya menerima laporan polis yang dibuat pemandu wanita pacuan empat roda, yang mendakwa dirinya dipukul kumpulan konvoi tersebut.
"Petang ini mereka yang terlibat akan dipanggil termasuk pemandu yang kita sudah tahan dan juga mereka yang berkaitan. Pemandu perempuan itu sudah membuat laporan polis mendakwa dia dipukul.
"Laporan polis hanya dibuat pemandu wanita berkenaan dan dianggarkan 10 orang atau mungkin akan lebih sebab rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ada nombor kenderaan mereka, kita akan panggil. Kita juga dapati pemandu wanita itu tidak mabuk, dia mungkin panik," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow dilaporkan berkata pemandu kereta pacuan empat roda Ford Ranger yang melanggar sebuah kereta mewah di lokasi berkenaan berhampiran susur keluar Sedenak, ditahan awal pagi Isnin.
Ahli perniagaan wanita berusia 28 tahun berasal dari Yong Peng itu, ditahan di perkarangan IPD Kulai kira-kira 1 pagi dan ditahan untuk siasatan lanjut setelah hadir menyerah diri di balai polis berkenaan.
Wanita itu direman selama tiga hari bermula semalam untuk siasatan lanjut disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM15,000.
Selain itu, kes itu disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Merusuh) yang boleh membawa hukuman dua tahun penjara atau denda jika disabit kesalahan.
Terdahulu, tular video berdurasi 45 saat yang tular di media sosial menunjukkan kumpulan kereta mewah terbabit telah bertindak memberhentikan kenderaan mereka, dipercayai selepas pelanggaran itu, di tengah-tengah lebuh raya berikutan rasa tidak berpuas hati, dan menyebabkan berlaku perselisihan faham antara mereka di lokasi kejadian.
Tok berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada sebuah pacuan empat roda Ford Ranger yang cuba memotong konvoi kumpulan kereta mewah secara berbahaya, sebelum melanggar satu daripada kereta itu ketika memasuki lorong kiri.
-- BERNAMA