10 tembok perlu diruntuh pastikan keberkesanan slogan 'Segulai Sejalai'

Bernama
Jun 8, 2023 22:45 MYT
Felow Kanan Majlis Profesor Negara Datuk Dr Jeniri Amir berkata tembok itu ialah perbezaan etnik, agama, kelas sosial, pendidikan, bahasa, generasi digital, jantina, federalisme politik, perbezaan kelas serantau dan kegunaan sosial.
KUALA LUMPUR: Sepuluh tembok perlu diruntuh bagi memastikan keberkesanan cogan kata perpaduan untuk seluruh negara 'Segulai Sejalai' seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Felow Kanan Majlis Profesor Negara Datuk Dr Jeniri Amir berkata tembok itu ialah perbezaan etnik, agama, kelas sosial, pendidikan, bahasa, generasi digital, jantina, federalisme politik, perbezaan kelas serantau dan kegunaan sosial.
"Saya percaya jika ada komitmen, kesedaran dan keinsafan daripada semua pihak untuk mengamalkan nilai murni dan mengikis unsur nilai negatif seperti prasangka dan etnosentrisme, slogan tersebut dapat memantapkan lagi erti perpaduan," katanya dalam program Malaysia Petang Ini bertajuk 'Segulai Sejalai, Perpaduan Disemai?' terbitan Bernama TV hari ini.
Segulai Sejalai, yang bermaksud seiring sejalan dalam Bahasa Iban di Sarawak, dipilih oleh Anwar sebagai cogan kata perpaduan untuk seluruh negara selepas beliau tertarik dengan frasa itu yang menjadi motto sambutan Gawai Dayak peringkat kebangsaan yang dihadirinya di Kuching, Sarawak semalam.
Jeniri berkata keberkesanan frasa itu akan mengambil masa seperti petikan "work in progress" yang memerlukan proses berterusan dan dilakukan secara sederhana serta bukan diletak semata-mata di bahu kerajaan.
"Semua pihak termasuk atasan dan bawahan harus berkongsi tenaga, mengambil peduli dan memainkan peranan masing-masing melalui pendekatan pelbagai strategi membabitkan sektor kerajaan, swasta serta komuniti," katanya.
Beliau juga berkata konsep pendidikan perpaduan harus bermula di rumah secara tidak formal manakala secara khususnya di sekolah dalam memupuk semangat itu dalam kalangan generasi baharu bagi mencapai gagasan masyarakat MADANI dan menyatukan semua kaum di negara ini.
-- BERNAMA
#Segulai Sejalai #tembok #perpaduan #Jeniri Amir
;