10 rumah rosak teruk dilanda belalai air di Kedah

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 29, 2023 18:52 MYT
Antara rumah yang rosak dalam kejadian ribut dan belalai air di Kampung Pida 2, Manggol Bongor, di Kubang Pasu, hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
KUBANG PASU: Sekurang-kurangnya 10 rumah rosak teruk selepas dilanda ribut dan belalai air di Kampung Pida 2, Manggol Bongor, di sini hari ini.
Seorang penduduk yang juga pengusaha bengkel, Marwan Kassim, 40, berkata, kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu berlaku ketika dia sedang membaiki sebuah lori.
"Saya tiba-tiba ternampak kepulan angin membentuk seperti belalai. Pusaran angin itu kemudian menerbangkan bumbung rumah penduduk satu persatu ke udara.
“Ini kali pertama saya tengok belalai air dan saya tergamam... ia berlaku di depan mata saya. Saya sempat merakam video kejadian itu sebelum pusaran angin itu menghala ke arah bengkel saya.
"Saya kemudian lari menyelamatkan diri ke dalam rumah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Marwan, bengkel dan rumahnya yang terletak bersebelahan turut terjejas apabila beberapa peralatan mengalami kerosakan selain peti sejuk dan mesin basuh.
Katanya kejadian itu mengakibatkan dia mengalami kerugian kira-kira RM40,000.
Namun katanya, dia bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) negeri Kedah, Khalil Abd Aziz berkata, corak cuaca yang tidak menentu ketika ini menyebabkan fenomena sedemikian termasuk ribut dan puting beliung boleh berlaku.
Beliau berkata fenomena seumpama itu berkemungkinan boleh berlaku lagi dalam tempoh peralihan monsun yang berterusan dari September hingga November.
“Kemungkinan ini berlaku disebabkan oleh corak cuaca emasa perubahan monsun menyebabkan langit cerah pada waktu pagi, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang pada sebelah petang hingga malam,” katanya ketika dihubungi.
#belalai air #Kedah #Tular #Kubang Pasu
;