10 rumah musnah akibat angin kencang di Pulau Betong

Bernama
November 6, 2016 13:12 MYT
Mangsa ribut mengangkat mesin rumput yang masih boleh digunakan selepas rumahnya dilanda ribut sehingga menyebabkan beberapa bumbung mengalami kerosakan di Kampung Perlis, Balik Pulau awal pagi tadi. - fotoBERNAMA
Sepuluh rumah di Kampung Perlis, Pulau Betong musnah selepas dilanda angin kencang awal hari ini.
Seorang daripada pemilik rumah, Khairul Amin Ahmad berkata dia terkejut apabila angin kencang tersebut memusnahkan bumbung rumahnya.
"Kebanyakan barangan rumah saya rosak. Memandangkan musim hujan sudah bermula, saya perlu membaiki bumbung secepat mungkin sebelum timbul masalah lain," katanya.
Angin kencang disertai hujan bermula kira-kira 1 pagi dan keadaan angin kencang berlaku kira-kira 30 minit selepas itu.
Menurut penduduk kampung, angin bertiup kencang sejak beberapa hari lalu dan mereka risau insiden itu akan berulang.
Nur Hidayah Omar, 26, berkata bumbung rumahnya hampir rosak disebabkan tiupan angin itu dan dia bimbang keadaan akan menjadi lebih buruk jika angin kencang diiringi hujan lebat berterusan.
"Rumah jiran saya rosak teruk akibat angin kencang itu dan kami bernasib baik tiada perkara buruk yang berlaku kepada kami. Ketika kejadian, saya boleh dengar deruan angin dan bunyi seolah-olah zink bumbung rumah saya akan diterbangkan," katanya.
Empat tahun lalu, Kampung Perlis antara tiga buah kampung yang terjejas akibat angin kencang yang merosakkan kira-kira 100 buah rumah.
Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Betong Muhamad Farid Saad berkata sebuah rumah rosak teruk manakala sembilan yang lain dilaporkan rosak sebahagian.
"Setakat ini, kami bantu apa yang mampu untuk meringankan beban penduduk kampung," katanya. -- Bernama
#angin kencang #Pulau Betong #rumah musnah
;