10 rumah dilanda air pasang besar di Kuala Terengganu

Astro Awani
November 18, 2020 05:13 MYT
Wan Mohd Adlan bimbang sekiranya air pasang kali ini lebih besar dan mengakibatkan banjir yang lebih buruk. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Lebih 10 kediaman penduduk di Kampung Losong Haji Mohd, Kuala Terengganu dinaiki air susulan fenomena air pasang besar.
Tinjauan Astro AWANI di lokasi itu mendapati penduduk telah bersedia dan memindahkan barangan berharga mereka ke kawasan yang lebih tinggi.
Beberapa penduduk yang ditemui berkata mereka mula menyedari kediaman mereka dinaiki air sekitar jam 9.30 malam Selasa.
Mereka kemudian terus memindah barangan berharga di tempat yang selamat.
Menurut seorang penduduk, Mohd Hazizi Mohd, walaupun kejadian air pasang berlaku setiap tahun namun kali ini ia berbeza berbanding tahun sebelumnya.
“Rasa seperti tahun ini lebih besar air pasang dan kita bimbang juga sebab sebelah malam air naik tinggi,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Wan Mohd Adlan Wan Ahmad, bimbang sekiranya air pasang kali ini lebih besar dan mengakibatkan banjir yang lebih buruk.
“Takut juga sebenarnya sebab kadangkala kita tidak tahu air naik setakat mana, takut jika ia naik tinggi namun setakat ini tidak perlu pindah lagilah,” ujarnya.
Jelas penduduk walaupun sudah lali dengan keadaan ini namun mereka sentiasa peka dengan keadaan semasa dan bimbang sekiranya paras air terus meningkat dan memasuki kediaman.
Menurut penduduk lagi fenomena air pasang besar ini antara yang terburuk dialami mereka sejak 2014.
#Kampung Losong Haji Mohd #Kuala Terengganu #air pasang besar #air naik tinggi #banjir #Penduduk