10 remaja didakwa rogol pelajar Tingkatan 1 di rumah kosong
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 5, 2018 15:14 MYT
Oktober 5, 2018 15:14 MYT
Sepuluh remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan merogol seorang pelajar perempuan Tingkatan 1, bulan lalu.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan terhadap mereka yang berusia antara 15 hingga 17 tahun dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Hairol Jemain dalam prosiding yang diadakan secara tertutup.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Siti Nor Rasyidah M. Nadzri ketika ditemui pemberita berkata seorang tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan manakala dua tertuduh didakwa dengan dua pertuduhan dan tujuh lagi berdepan satu pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di sebuah rumah kosong dan beberapa lokasi lain di sekitar Kamunting kira-kira jam 9.30 pagi hingga 3.30 petang pada 18 hingga 25 September lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum sehingga 30 tahun jika sabit kesalahan.
Kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M.Kathan.
Majistret Mohd Hairol membenarkan ikat jamin RM3,500 untuk tujuh tertuduh yang berdepan dengan satu pertuduhan, RM4,000 kepada dua remaja yang menghadapi dua pertuduhan dan RM6,000 untuk seorang tertuduh yang didakwa atas tiga pertuduhan.
Mahkamah turut menetapkan jaminan bersyarat terhadap kesemua tertuduh agar tidak mendekati dan mengganggu mangsa sepanjang tempoh prosiding berlangsung sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 28 November depan bagi tujuan lantikan peguam dan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Kesemua suspek berusia 15 hingga 17 tahun itu ditahan dalam serbuan di sekitar Kamunting dan Taiping di antara pukul 9 dan 11.30 malam Khamis minggu lalu.
Empat daripada mereka masih bersekolah manakala selebihnya sudah berhenti sekolah.
Tangkapan kesemua suspek dijalankan selepas laporan polis dibuat mangsa di Balai Polis Kamunting pada 26 September lalu.
#kamunting
#Mahkamah Majistret
#Malaysia
#mangsa
#PDRM
#Perak
#polis
#Polis Diraja Malaysia
#remaja
#rogol
#Taiping