10 rakyat Singapura ditahan atas kesalahan trafik
Bernama
Disember 7, 2013 20:36 MYT
Disember 7, 2013 20:36 MYT
Polis menahan sepuluh rakyat Singapura yang mempunyai waran tangkap atas pelbagai kesalahan jalan raya menerusi Ops Warta di negeri ini.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kesemua mereka ditahan dalam tempoh 12 hari lepas sejak operasi berkenaan dilancar 25 Nov lepas.
"Kesemua mereka kemudian sudah menjelaskan bayaran saman tertunggak yang di hadapi masing-masing," katanya kepada pemberita selepas program Hari Kesedaran Pencegahan Jenayah Kontinjen Johor di pasaraya Tesco Tebrau, di sini, hari ini.
Mohd Mokhtar berkata secara keseluruhannya pihaknya berjaya mengutip hasil saman dan kompaun sebanyak RM148,520 menerusi 637 waran tangkap dan kompaun yang diselesaikan dari pelbagai pesalah trafik sejak operasi berkenaan dilancarkan.
Sementara itu, mengulas mengenai program pencegahan jenayah terbabit, beliau berkata ia merupakan kerjasama yang baik antara polis dan pihak pasaraya berkenaan dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan kesedaran jenayah di tempat awam.
"Orang ramai bukan sahaja didedahkan dengan pengetahuan mengenai jenayah kekerasan seperti samun dan ragut malah penipuan 'gores dan menang' yang berleluasa ketika ini," katanya.