10 rakyat Malaysia terperangkap banjir di India dijangka tiba malam ini
Umavathi Ramayah
Julai 14, 2023 21:46 MYT
Julai 14, 2023 21:46 MYT
KUALA LUMPUR: Sepuluh rakyat Malaysia yang terperangkap di Himachal Pradesh, India akibat dilanda banjir dijangka tiba di Kuala Lumpur pukul 10 malam ini.
Kementerian Luar, berkata, kesemua mereka selamat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, New Delhi pukul 1.56 petang waktu tempatan menaiki pesawat Malaysia Airlines.
"Kumpulan tersebut berjaya dievakuasi menerusi jalan darat dari Manali selama 23 jam, bermula pada pagi hari Khamis (13 Julai 2023) dan tiba dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, New Delhi pada pagi hari Jumaat (14 Julai 2023)," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Urusan penerbangan kumpulan itu katanya, diselaraskan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dengan kerjasama Malaysia Airlines.
Dalam pada itu, Kementerian Luar menggesa rakyat Malaysia yang berada di luar negara untuk mendaftar dengan pejabat perwakilan Malaysia di negara yang dikunjungi mereka.
Ini adalah bagi memastikan bantuan konsular yang sewajarnya akan dapat diberikan dengan segera kepada mereka yang memerlukan, terutamanya ketika situasi bencana seumpama itu.
Sebelum ini, 12 pendaki Malaysia dilaporkan hilang di wilayah India itu selepas keluarga mereka tidak dapat menghubungi mereka.
Namun Wisma Putra menjelaskan, daripada 12 individu itu, sebenarnya seorang adalah warganegara China dan seorang lagi adalah warganegara British.