10 rakyat Malaysia termasuk OKU mahu tawan Everest dalam misi Malaysia Everest 2022
Raja Hisyam Raja Zaid
Februari 12, 2022 16:16 MYT
Februari 12, 2022 16:16 MYT
PUTRAJAYA: Seorang pendaki kelainan upaya (OKU) antara sepuluh rakyat Malaysia yang dijadualkan bakal menakluk puncak tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest yang bermula Mac ini dalam misi Malaysia Everest 2022.
Muhammad Hawarie Hashim, 32, yang cacat pendengaran dan bisu merupakan Pembantu Awam (seni) Muzium Pulau Pinang bagaimanapun bukanlah asing dalam dunia sukan pendakian ekstrem memandangkan sebelum ini dia pernah menakluk beberapa puncak pergunungan lain seperti gunung Rinjani dan Keraton, Indonesia serta pernah ke Annapurna Base Camp, Nepal.
“Saya nak tunjukkan bahawa tidak ada perkara yang saya tak boleh lakukan. Sebab itulah juga saya dipilih bersama-sama dalam misi ini.
“Perkara pertama yang saya paling risau sekali adalah keadaan cuaca di situ dan kita tahu di gunung Everest itu memang salji dia banyak dan pemakaiannya perlu tebal dan mungkin akan melambatkan proses pendakian itu tapi itulah cabaran yang perlu saya terima dan saya yakin akan sampai ke puncak gunung tersebut,” jelasnya kepada media hari ini.
Menurut ketua ekspedisi tersebut Azim Afif Ishak, pendakian ini merupakan sesuatu yang berbeza kerana akan menampilkan kalangan pendaki yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini termasuk tiga anggota Polis Diraja Malaysia dari Unit Komando VAT 69.
“Ini merupakan misi yang tertangguh akibat COVID-19 sebelum ini yang sepatutnya dijadualkan pada 2019. Kita telah melakukan pemilihan peserta sejak 2018 dan barisan ini adalah yang terbaik dari segi fizikal dan kecergasan mereka.
“Kita telah menjalani latihan selama tiga tahun dan mereka sendiri secara peribadi memiliki latar belakang pendakian mereka sendiri dan sangat berpengalaman. Untuk OKU ni kita dah berurusan dengan sherpa untuk bawa seorang OKU yang pekak dan bisu. Inilah kali pertama Malaysia nak bawa dan kita dah atur sherpa yang boleh berbahasa isyarat,” jelasnya ketika ditemui pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Pendakian tersebut katanya akan memakan masa 63 hari bermula 26 Mac hingga 11 Jun nanti.
Setakat ini jelasnya seramai 19 rakyat Malaysia telahpun berjaya menawan puncak gunung berketinggian 8,848 meter dari aras laut yang dianggap ekstrem dan paling mencabar itu.
Rakyat Malaysia yang pertama berjaya sampai ke puncak tersebut adalah menerusi kejayaan Datuk M.Magendran yang berjaya melakukanya pada tahun 1997.
#COVID-19
#Indonesia
#Malaysia
#Nepal
#OKU
#Polis Diraja Malaysia
#Putrajaya
#rakyat Malaysia
#sukan
#Everest