10 rakyat Malaysia terkandas di Pakistan pulang ke tanah air

Nursyazwani Saiful Sham
Mac 6, 2019 23:57 MYT
Konflik antara Pakistan dan India bermula apabila beberapa siri berbalas serangan di kawasan sempadan pertikaian, Kashmir. Foto: AP
Seramai 44 rakyat Malaysia yang masih terkandas di Pakistan sejak 27 Februari lalu susulan penutupan ruang udara negara itu dijangka meninggalkan Pakistan menjelang hujung minggu ini.
Menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Republik Islam Pakistan, Ikram Mohammad Ibrahim, 10 daripada mereka yang terkandas akan pulang ke tanah air hari ini (Rabu) melalui Karachi.
Manakala baki 34 orang lagi masih menunggu penerbangan mereka sama ada melalui penerbangan dari Karachi, Doha atau Abu Dhabi.
“Kami menjangkakan mereka semua akan berjaya kembali ke tanah air akhir minggu ini. Buat masa ini kebanyakan mereka tinggal di hotel berdekatan.
“Ada juga yang menginap di rumah kenalan mereka. Bagi pihak Suruhanjaya Tinggi di Karachi akan sentiasa memantau perkembangan terkini dan membantu apa yang mereka perlukan dari segi kebajikan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
BACA: Konflik India-Pakistan: Petisyen gesa Imran Khan diberi Hadiah Nobel Keamanan
BACA: Pakistan buka ruang udara 4 Mac
Sementara itu jelas Ikram, keadaan di Pakistan kembali tenang dan aman serta rakyat tempatan sudah mula rutin harian mereka seperti biasa.
“Bagaimanapun, rakyat tempatan yang mahu ke Pakistan sekali lagi diingatkan untuk tangguhkan penerbangan sehingga diumumkan kelak,” ujarnya.
Konflik antara Pakistan dan India bermula apabila beberapa siri berbalas serangan di kawasan sempadan pertikaian, Kashmir.
Susulan ketegangan itu, kuasa dunia menggesa kedua-dua negara untuk ambil keputusan wajar dan bertenang.
#Ikram Mohammad Ibrahim #India #Pakistan #Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Republik Islam Pakistan #ruang udara #terkandas
;