10 peratus graduan TVET universiti awam terima gaji RM4,000

Hasimi Muhamad
Oktober 16, 2023 11:36 MYT
Mohamed Khaled berkata, setakat ini sekitar 10 peratus graduan TVET dari universiti awam atau rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) telah menerima gaji premium. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang menyasarkan meningkatkan peratusan gaji lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada 'gaji premium' iaitu RM4,000 sebulan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini, sekitar 10 peratus graduan TVET dari universiti awam atau rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) telah menerima gaji premium.
Sementara, graduan lepasan universiti dengan gaji RM2,500 ke atas adalah seramai 38 peratus, ujarnya.
"Bagi graduan lepasan politeknik, mereka yang sudah menerima gaji premium walaupun diploma 0.9 peratus. Tetapi yang menerima gaji RM2500 ke atas adalah sebanyak 6.1 peratus.
"Jadi bagi kementerian sekarang sasaran kita bukan lagi kebolehpasaran graduan tetapi sasaran kita ialah gaji premium seperti mana yang dikatakan oleh Yang berhormat sebentar tadi, dan untuk kita pastikan ini dapat dilakukan, antaranya kita akan melakukan reformasi terutamanya kepada politeknik di mana antaranya kita akan menjalin dan mempunyai hubungan kerjasama yang aktif dengan pihak industri.
"Kita akan menyediakan program-program bahru yang menepati kehendak Dan keperluan negara Dan juga industri," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar).
Mengenai pertanyaan Muslimin berhubung jumlah graduan bidang TVET dari tahun 2018 sehingga 2023, Mohamed Khaled berkata, jumlah graduan TVET yang dilahirkan oleh KPT adalah seramai 256,901 orang.
Daripada jumlah tersebut, graduan universiti awam atau MTUN adalah seramai 71,825 orang, manakala graduan politeknik dan kolej komuniti adalah seramai 185,076 orang.
Jumlah tersebut, katanya merangkumi 139,579 orang graduan politeknik, dan 45,497 orang graduan kolej komuniti.
Dalam masa yang sama, beliau menambah Kajian Pengesanan Graduan yang dilakukan oleh KPT menunjukkan purata kebolehpasaran graduan TVET dari universiti awam atau MTUN pada tahun 2018 sehingga 2022 adalah sebanyak 91.8 peratus.
"Daripada jumlah ini, 69.4 peratus graduan telah bekerja dan dari jumlah responden yang telah bekerja in, sebanyak 60.9 peratus bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan pengajian di universiti awam ataupun MTUN.
"Manakala baki 14.9 peratus adalah graduan yang sedang melanjutkan pengajian, 3.1 peratus lagi sedang mengikuti kursus atau latihan meningkatkan kemahiran, dan 4.3 peratus lagi sedang menunggu penempatan pekerjaan," katanya.
#Kementerian Pendidikan Tinggi #Mohamed Khaled Nordin #TVET #gaji premium
;