10 pekerja asing nyaris maut kontena terbalik dipukul angin ribut
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 6, 2019 12:41 MYT
Mei 6, 2019 12:41 MYT
Seramai 10 pekerja warganegara asing nyaris maut apabila sebuah kontena yang dijadikan tempat tinggal mereka terbalik dalam kejadian hujan lebat dan ribut pada Isnin.
Kejadian itu berlaku pada pukul 9.50 pagi di sebuah tapak pembinaan di Kuala Jalan Baru, Balik Pulau.
Kesemua mangsa yang berusia antara 25 hingga 45 tahun mengalami kecederaan namun stabil.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Saadon Moktar, dalam kejadian itu sebanyak lapan buah kontena terbalik manakala 10 pekerja asing dari pelbagai negara itu berjaya diselamatkan.
Katanya, hujan lebat dan angin kuat menyebabkan tapak kawasan kontena yang dijadikan kediaman pekerja asing di tapak pembinaan berkenaan tiba-tiba terbalik.
Saadon berkata, pekerja-pekerja asing berkenaan berada dalam kontena itu kerana tidak boleh menjalankan kerja di tapak pembinaan akibat hujan lebat.
Katanya mangsa yang cedera di hantar ke Hospital Balik Pulau untuk rawatan lanjut.
Pemeriksaan lanjut di kawasan kejadian setakat ini mendapati tiada lagi mangsa yang terperangkap dan menurut beberapa pekerja di situ semua rakan mereka telah diselamatkan.