10 pasukan khas ditubuhkan pantau perhimpunan Black Demokrasi di Kedah

Adie Sufian Zulkefli
Jun 30, 2021 17:01 MYT
Polis Kedah mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi di Kedah bagi memantau pergerakan perhimpunan Black Demokrasi untuk menggulingkan kerajaan. - Gambar Astro AWANI
PADANG TERAP: Polis Kedah menubuhkan 10 pasukan khas untuk memantau pergerakan perhimpunan ‘Black Demokrasi' untuk menggulingkan kerajaan di beberapa lokasi yang dikenal pasti di negeri ini.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, selain itu pasukan pemantauan COVID-19 turut ditugaskan untuk memberi tumpuan terhadap demontrasi yang akan diadakan.
Bagaimanapun, kata beliau, buat masa ini, tiada sebarang perhimpunan berlaku di negeri ini dan keadaan masih terkawal.
Antara lokasi yang didakwa akan menjadi tempat perhimpunan ‘Black Demokrasi’ itu, tegas Kamarul Zaman, termasuk di beberapa buah masjid, Istana Anak Bukit selain beberapa di hadapan bangunan pejabat seperti Kumpulan Wang Simpanan Pejabat (KWSP).
“Kita telah buat pemantauan dan kita memperketatkan pergerakan keluar masuk ke dalam sesuatu daerah untuk memastikan mereka ini tidak bergerak… jika mereka bergerak tanpa tujuan tindakan akan diambil,” kata beliau kepada wartawan ketika ditemui semasa melakukan tinjauan operasi hari keempat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Kuala Pai, di sini, hari ini.
Kamarul Zaman berkata demikian sebagai mengulas dakwaan akan berlaku himpunan ‘Black Demokrasi’ yang mengajak rakyat di negara ini membantah keras kerajaan yang didakwa menindas rakyat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bahkan, himpunan itu juga didakwa diadakan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan.
Kamarul Zaman turut memberi amaran kepada rakyat di Kedah supaya tidak menyertai perhimpunan itu kerana tindakan tegas akan dikenakan.
Dalam masa sama, kata beliau, pihaknya juga akan melakukan rondaan di kawasan yang dikenal pasti di seluruh negeri ini untuk memastikan tidak ada yang cuba untuk menggugat ketenteraman awam.
Kamarul Zaman berkata, tindakan akan diambil mengikut Akta 342 dan kompaun akan diambil serta-merta jika ada yang melanggar prosedur operasi standart (SOP).
Sementara itu, tinjauan Astro AWANI di hadapan bangunan Persekutuan di Anak Bukit sehingga pukul 3 petang masih terkawal dan terdapat beberapa sekatan jalan raya (SJR) polis didirikan termasuk di hadapan Masjid Zahir.
#Black Demokrasi #perhimpunan Black Demokrasi #Kedah #gulingkan kerajaan #perintah kawalan pergerakan #Istana Anak Bukit #masjid #KWSP #Ketua Polis Kedah #Kamarul Zaman Mamat
;