10 panduan keselamatan bermain Pokemon GO

Bernama
Ogos 11, 2016 08:00 MYT
Sebarang penggunaan aplikasi untuk memuat naik permainan Pokemon GO mungkin mendedahkan pemain kepada serangan penggodam atau 'malware'. - Gambar fail
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan garis panduan keselamatan umum kepada orang ramai berkaitan permainan Pokemon GO dengan menggesa pemain supaya sentiasa peka dengan keselamatan sekeliling dan sensitiviti masyarakat setempat.
Dalam kenyataan pada Rabu, SKMM berkata keputusan mengeluarkan garis panduan keselamatan umum itu juga bertujuan mengelak kejadian tidak diingini seperti rompakan, kecurian atau kecederaan.
Menurutnya, pengeluaran garis panduan itu dibuat selepas timbul kebimbangan pelbagai pihak dan berlaku beberapa insiden tidak diingini gara-gara bermain aplikasi permainan berasaskan realiti tambahan itu yang sudah melanda lebih 70 negara di seluruh dunia.
SKMM berkata langkah itu juga seiring dengan panduan keselamatan yang telah dikeluarkan beberapa negara lain bagi permainan berkenaan.
Garis panduan keselamatan itu mengandungi beberapa panduan atau 'tip' kepada pemain antaranya mengenai kepentingan melindungi maklumat peribadi, menghormati sensitiviti tempat ibadat, peringatan untuk tidak memasuki ke kawasan larangan yang berbahaya dan keperluan berwaspada terhadap individu tidak dikenali.
Turut ditekankan dalam garis panduan keselamatan itu ialah keperluan bagi pemain untuk berwaspada dengan penipuan yang boleh berlaku baik secara dalam talian mahupun di luar talian.
Pokemon Go boleh ancam keselamatan negara
Ini kerana, sebarang penggunaan aplikasi untuk memuat naik permainan Pokemon GO mungkin mendedahkan pemain kepada serangan penggodam atau 'malware'.
"Dalam hal ini, SKMM ingin menegaskan bahawa pilihan untuk bermain Pokemon GO terletak di tangan pemain sendiri. Namun, semua pemain harus sentiasa peka dengan keadaan di sekeliling mereka," kata suruhanjaya itu.
Berikut ialah 10 perkara yang digariskan dalam panduan keselamatan berkenaan:

1. Lindungi maklumat peribadi anda
Permainan ini menghendaki anda untuk mendaftar dan berkongsi maklumat peribadi selain menggunakan lokasi Sistem Kedudukan Sejagat (GPS). Pertimbangkan sama ada anda sanggup mendedahkan maklumat peribadi anda. Ibu bapa juga harus sedar bahawa data anak-anak mereka diambil ketika bermain Pokemon Go.

2. Waspada akan penipuan dalam talian dan luar talian
Berhati-hati dengan aplikasi mudah alih palsu dan peralatan mencurigakan yang berada dalam talian dan ditawarkan kepada anda. Ini kerana aplikasi sedemikian mungkin mendedahkan anda kepada ancaman penggodam atau 'malware'.

3. Pantau jumlah wang yang anda belanjakan ketika melakukan pembelian melalui aplikasi mudah alih, ia mungkin menelan belanja yang tinggi.
Terdapat pembelian yang boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih dan insentif-insentif lain yang harganya boleh mencecah US$99.99 atau RM403.86 (untuk 14,500 syilingPoke). Justeru, sentiasa sedar apa yang anda belanjakan.

4. Sambungan data
Pokemon Go akan menggunakan GPS dan sambungan data (Wifi atau data mudah alih, sama ada 3G atau 4G) untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan sekitar anda dan ini berkemungkinan menjejaskan kuota data mudah alih anda.

5. Bawa bersama bateri tambahan untuk telefon anda
Pokemon Go akan memakan banyak bateri telefon anda. Oleh yang demikian, bawalah bersama cas bateri atau sumber kuasa dan bersedia untuk menghubungi anggota keluarga jika berlaku kecemasan.

6. Jangan masuk ke kawasan berbahaya atau kawasan larangan atau tempat beribadat, hormati privasi kawasan-kawasan berkenaan
Jangan merayau atau memasuki kawasan berbahaya dan kawasan-kawasan larangan atau tempat-tempat beribadat dalam usaha anda untuk menangkap Pokemon.

7. Waspada dengan individu yang ingin berjumpa dengan anda
Jangan bermain secara bersendirian atau bersetuju untuk bertemu dengan individu yang tidak dikenali ketika bermain permainan tersebut.

8. Berhati-hati semasa bermain dan jangan menunggang basikal mahupun motosikal atau memandu kereta ketika menggunakan telefon anda
Berhati-hati semasa menggunakan telefon anda dan jangan menunggang basikal atau motosikal, mahupun ketika memandu kereta, termasuk ketika bermain Pokemon Go atau menghantar teks pesanan kepada rakan dan anggota keluarga anda.
Pokemon Go beri amaran jika anda sedang memandu

9. Mana-mana pihak yang mempunyai kebimbangan mengenai isu keselamatan dan sensitiviti permainan Pokemon Go harus menghubungi pihak yang membangunkan permainan berkenaan di alamat:
Niantic,Inc.
2 Bryant Street
Suite 220, San Francisco, CA 94105
Amerika Syarikat
Laman sesawang: http://www.nianticlabs.com

10. Melaporkan isu melibatkan PokeStop atau Gym
Di https://support.pokemongo.nianticlabs.com/hc/en-us/articles/221968408Reporting-Po keStop-orGym-Issues
#Pokemon #Pokemon GO #SKMM #Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
;